comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Teleport mahu tambah tujuh lagi pesawat pengangkut

Teleport kini memiliki tiga pesawat berbadan sempit Airbus A321.

KUALA LUMPUR: Penyedia logistik bersepadu, Teleport menyasarkan untuk menambah tujuh pesawat pengangkut bagi mencapai sasaran penghantaran dua juta kiriman bungkusan setiap hari menjelang 2025, agar setanding dengan peserta penghantaran ekspres global yang lain.

Pada masa ini, Teleport memiliki tiga pesawat berbadan sempit Airbus A321 bagi memenuhi keperluan logistiknya, di samping gabungan pesawat penumpang AirAsia dan lebih 30 rakan kongsi syarikat penerbangan lain.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pete Chareonwongsak, berkata dengan penambahan pesawat pengangkut itu syarikat logistik berkenaan berazam untuk merealisasikan perkhidmatan penghantaran sampai pada hari esok dengan menawarkan harga berpatutan kepada semua perniagaan di Asia Tenggara.

“Kami turut beroperasi di Thailand, Filipina dan Vietnam, jadi kami sedang mencari kawasan yang sesuai bagi menempatkan tujuh kapal pengangkut tambahan di negara ini, dan ia mungkin bukan pesawat pengangkut A321 seperti yang kami ada di Kuala Lumpur,” katanya semasa taklimat media semalam.

Menurut Chareonwongsak, syarikat itu kini bersedia untuk mengubah cara pengoperasian logistik rentas sempadan di Asia Tenggara.

“Untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran yang pantas, dengan harga yang berpatutan dan dipercayai mungkin agak sukar tetapi kami percaya ia mampu direalisasikan.

“Ini termasuk mengawal rangkaian hibrid, dengan didayakan oleh penggunaan teknologi yang bersesuaian, model pengendalian yang betul, menyediakan pelanggan dan rakan kongsi kami perkhidmatan sampai pada esok hari di Asia Tenggara yang berpatutan untuk semua pihak,” katanya.

Chareonwongsak menyatakan syarikat akan terus mengukuhkan infrastruktur rangkaian bagi mencapai sasaran berkenaan dan bekerjasama dengan rakan kongsi syarikat penerbangan yang lain untuk meningkatkan kapasiti lorong volum tinggi utama.

“Ini adalah peringkat pertumbuhan kami bagi lima tahun seterusnya – penghantaran sampai pada hari berikutnya dengan harga berpatutan untuk semua di Asia Tenggara, dan membantu semua perniagaan dengan perkhidmatan yang lebih mudah dan lebih baik,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini