comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tiada keperluan naikkan had siling hutang negara

Foto Hiasan

Oleh Suzila Idayu Yaacob

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk menaikkan had siling hutang negara kepada lebih 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini kerana kerajaan telah menaikkan had siling sebanyak dua kali daripada 55 peratus kepada 60 peratus iaitu ketika pandemik dan kemudiannya kepada 65 peratus sehingga kini.

“RM1.5 trilion itu termasuk kontigen liabiliti. Kalau hutang kerajaan yang sebenarnya adalah RM1.2 trilion dan jumlah ini lebih kurang 61 peratus daripada had siling. Kita telah meluluskan sehingga 65 peratus had siling hutang daripada KDNK bermaksud ada (lebih kurang) 40 peratus lagi.

“Setakat ini saya tidak nampak ada keperluan untuk meningkatkan siling 65 peratus itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis perasmian dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) dan Uniti Asia Group.

Katanya, hutang negara kini mencecah RM1.5 trilion dan usaha untuk mengurangkannya (hutang negara) wajar disegerakan.

Beliau sebelum ini mengemukakan tujuh langkah untuk mengurangkan hutang negara, antaranya menambah pendapatan kerajaan, diikuti mengurangkan ketirisan seperti rasuah.

Sementara itu, mengulas mengenai Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan 24 Februari ini, kerajaan akan menumpukan kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)  dalam usaha membantu mereka mengembangkan perniagaan.

“Jumlah PMKS di Malaysia ketika ini adalah kira-kira 1.26 juta. Daripada jumlah ini, 78.6 peratus atau 964,000 adalah perniagaan mikro yang jumlah jualannya kurang RM300,000 dan bilangan pekerja kurang daripada lima orang.

“Bagi perusahaan kecil 19.8 peratus dan baki 1.6 peratus adalah perusahaan sederhana. Jadi apa yang kita hasratkan ialah supaya perusahaan mikro ini meningkat kepada kecil dan perusahaan kecil kepada sederhana dan seterusnya,” katanya.

Jelas beliau, tumpuan terhadap PMKS itu penting memandangkan kumpulan berkenaan penggerak kepada ekonomi negara.

Kerajaan juga akan meneruskan tradisi untuk ke beberapa negeri bagi mendapatkan pandangan pihak berkaitan menerusi 18 dialog belanjawan yang bermula hari ini.

Loading...
Terkini