comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tiada perubahan drastik agenda Bumiputera dalam RMK-12: Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Oleh Juliana Pija Ismail

PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi jaminan tiada perubahan drastik akan dilakukan terhadap program berkaitan pemerkasaan Bumiputera yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau sebaliknya berkata, kementerian akan memberi tumpuan terhadap usaha memastikan setiap perkara dirancang dapat dilaksanakan mengikut objektif ditetapkan.

“Seperti yang saya cakap sebelum ini, selalunya perancangan baik, apa yang kita nak pastikan ia betul-betul dilaksanakan dan capai matlamat.Kami ingin memastikan setiap satu ringgit dibelanjakan jika pada rancangannya bertujuan untuk membebaskan mana-mana pihak daripada kemiskinan, sama ada anda Bumiputera atau tidak, ia dilaksanakan seperti dimahukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kick-Off Persidangan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 di sini, hari ini.

Selain meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera, RMK12 antara lain turut menyasarkan pertambahan sumbangan Perniagaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) kumpulan itu kepada sebanyak 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Usaha itu disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu seperti dana Kemakmuran Bumiputera dan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi kontraktor bumiputera.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) dijangka membentangkan KSP RMK-12 di Parlimen pada September tahun depan.

Beliau turut menjelaskan beberapa pengubahsuaian dalam RMK12 akan mengambil kira cabaran global.

“Terdapat beberapa kekangan dan terdapat juga peluang dan RMK12 adalah satu kerja yang berterusan selagi kita pantas dari segi menangani cabaran dan melakukan pelaksanaannya dengan teliti.Kita harap ia akan dapat untuk mencapai kebanyakan objektifnya walaupun tidak semua,” katanya.

Loading...
Terkini