comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

‘Tiba masa biojisim jadi bahan mentah bahan api baharu’

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya bagi Malaysia menyaksikan biojisim berperanan sebagai stok suapan atau bahan mentah bagi bahan api baharu dan maju serta industri hijau lain, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Ketika berkongsi perkara itu, beliau turut menekankan bahawa sememangnya menjadi strategi kerajaan untuk meningkatkan sektor biojisim yang sering dilihat sebagai hasil sampingan industri minyak sawit.

“Sehubungan itu, anjakan minda (perlu) dan melihat biojisim sebagai pengupaya diperlukan bagi industri baharu dan dengan nilai tambah tinggi yang dapat membantu mencapai misi yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersempena satu sesi yang diadakan di MIDA Sentral, semalam.

Sesi yang menghimpunkan pihak berkepentingan utama daripada ekosistem biojisim, mengetengahkan usaha bersepadu dalam memacu pelaburan bernilai tinggi dan kemajuan ke arah matlamat Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih karbon menjelang 2050.

Malah, sesi itu turut mengetengahkan kesungguhan Malaysia menggalakkan pelaburan mampan dalam sektor biojisim yang penting bagi mencapai sasaran sifar bersih itu sepertimana digariskan Perjanjian Paris 2016.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, menyentuh peranan agensi itu dalam memupuk persekitaran untuk memacu pertumbuhan industri biojisim di Malaysia.

“Sektor biojisim tidak hanya menyediakan peluang perniagaan menarik, namun berperanan penting dalam menyumbang kepada ekonomi kitaran untuk masa depan mampan.

“Berikutan itu, kita sedang berusaha untuk mempercepat penggunaan biojisim dan membantu kalangan komuniti menjadikan masa depan tenaga bersih sebagai satu kenyataan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini