comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

TNB lakukan persiapan menyeluruh hadapi musim tengkujuh

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah membuat persiapan menyeluruh bagi menghadapi musim tengkujuh termasuk penambahbaikan kepada infrastruktur kritikal miliknya di kawasan berpotensi ditenggelami banjir.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata kesemua empangan hidroelektriknya berada dalam keadaan baik untuk terus berfungsi sebagai tebatan banjir, antaranya dengan mengurangkan paras air empangan secara berperingkat mulai Julai lepas.

TNB juga telah memasang tembok penahan sistem perparitan di Pencawang Masuk Utama (PMU) dan meninggikan aras platform peralatannya, manakala set-set jana kuasa bergerak dan mudah alih serta perkakas kritikal seperti bot, telefon satelit dan lampu limpah telah ditempatkan di lokasi strategik.

“Langkah-langkah lain ialah mengubah lokasi dan meningkatkan ketinggian menara penghantaran untuk memastikan tiada risiko menara tumbang,” menurut TNB dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, bilik gerakan TNB di negeri yang terbabit banjir akan diaktifkan untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik sebaik keadaan berjaga-jaga diperlukan.

“Jika ada pencawang elektrik ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini