
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatat keuntungan bersih lebih rendah kepada RM327.9 juta dalam suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2023, daripada RM872.2 juta bagi tempoh sama tahun lalu berikutan penurunan keuntungan operasinya.
Perolehan hasil syarikat utiliti nasional itu bagaimanapun meningkat kepada RM13.32 bilion daripada RM12.84 bilion, didorong oleh peningkatan jualan tenaga elektrik, kata TNB dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Keuntungan operasi TNB dalam suku kedua itu susut sebanyak 21 peratus tahun ke tahun berikutan mekanisme pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) lebih rendah dalam suku semasa sebanyak 33.8 peratus.
“Ini diimbangi oleh perbelanjaan operasi sebanyak RM28.8 bilion daripada RM30.15 bilion, susut sebanyak 4.4 peratus yang kebanyakannya disebabkan oleh kos penjanaan yang lebih rendah,” katanya.
Selain itu, pendapatan asas sesaham (EPS) bagi suku kedua 2023 berkurangan kepada 5.70 sen daripada 15.23 sen bagi tempoh sama pada 2022.
Menurut TNB, bagi tempoh separuh pertama berakhir pada 30 Jun, 2023, keuntungan bersih berkurangan kepada RM1.33 bilion daripada RM1.77 bilion dalam tempoh sama 2022 manakala hasil meningkat kepada RM25.95 bilion daripada RM24.99 bilion, sebelum ini.
Asas EPS dalam separuh pertama 2023 turun kepada 23.11 sen berbanding 30.83 sen dalam separuh pertama 2022.