comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

TNB, Widad Bekerjasama Bina Loji Kuasa 2,100 Mw Di Selangor

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperoleh surat hasrat (Lol) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi pembangunan projek loji turbin gas kitaran gabungan 2,100 megawatt (mw) di Kapar, Selangor.

LoI itu diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB).

TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata projek baharu itu akan dibina di tanah milik sendiri TPGSB yang terletak di bahagian utara Loji Kuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz sedia ada dan akan dibangunkan secara kerjasama dengan Widad Business Group Sdn Bhd (WBG).

Projek itu dijadual memulakan operasi komersial pada 2031.

“Projek itu sejajar dengan Aspirasi Pelepasan Sifar Bersih TNB menjelang 2050, yang juga membentuk sebahagian daripada inisiatif TPGSB dalam menyokong Aspirasi Karbon Rendah 2040 kerajaan di bawah Dasar Tenaga Negara dan komitmen kerajaan untuk mencapai keneutralan karbon menjelang 2050,” kata TNB.

Loji kuasa tersebut juga dijangka menambah pendapatan kepada TNB apabila projek itu dimulakan.

“Projek ini tidak akan membawa kesan ketara ke atas aset bersih disatu TNB sesaham sebelum ia dimulakan.

“Urusniaga itu tidak akan membawa kesan ketara ke atas modal saham terbitan dan berbayar dan pemegangan saham pemegang saham utama TNB,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din dalam satu kenyataan berasingan berkata pelaburan bagi projek itu dianggarkan sebanyak RM9.5 bilion dan dijangka menyediakan pendapatan sebelum faedah dan cukai kira-kira RM400 juta setahun.

“Kami juga menyasar untuk mengguna teknologi hijau baharu di mana loji kuasa berkuasakan gas baharu akan dibangunkan dengan teknologi hidrogen masa depan sebagai bahan api alternatif kepada gas,” katanya.

Pengasas dan pengerusi eksekutif kumpulan WBG Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata projek itu akan dibangunkan menerusi usaha sama antara TNB dan WBG dengan TNB memegang 60 peratus pegangan manakala WBG sebanyak 40 peratus.- BERNAMA

Loading...
Terkini