comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Topmix bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada April

Quek Siang (dua dari kiri) pada majlis memeterai perjanjian taja jamin antara Topmix dan M&A Securities. – FOTO: Ihsan Topmix

KUALA LUMPUR: Syarikat produk hiasan permukaan, Topmix Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) untuk penyenaraian di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata IPO itu membabitkan terbitan awam 82.7 juta saham biasa baharu, mewakili 21 peratus modal sahamnya yang diperbesarkan.

Ia menawarkan penjualan RM19.7 juta saham sedia ada, atau lima peratus daripada modal saham yang diperbesarkan menerusi penempatan tawaran persendirian kepada pelabur terpilih.

Menurut perjanjian itu, M&A Securities akan menaja jamin 27.6 juta saham biasa baharu yang disediakan untuk orang awam Malaysia serta kakitangan dan pengarah syarikat.

Pengarah Urusan Topmix, Teo Quek Siang, berkata penyenaraian Topmix Bhd itu akan meningkatkan kedudukan syarikat dalam kalangan pelanggan, mengukuhkan reputasinya dan membuka peluang pertumbuhan baharu perniagaan.

“Kami memperuntukkan sebahagian hasil daripada IPO untuk pengembangan rangkaian produk, agar dapat meluaskan lagi penawaran bagi produk hiasan permukaan dan menyasarkan segmen pelanggan baharu,” katanya.

Topmix juga, katanya menggariskan trajektori yang jelas untuk pertumbuhan perniagaan, termasuk pengembangan ke wilayah utara Semenanjung Malaysia, meningkatkan kesedaran jenama dan produk, mengembangkan kapasiti gudang di wilayah tengah Semenanjung Malaysia bagi menyokong volum perniagaan yang lebih tinggi.

Quek Siang berkata, kumpulan itu optimistik terhadap pertumbuhannya didorong oleh permintaan untuk produk hiasan permukaannya kerana ia bersedia untuk mendapat manfaat daripada pemulihan dan pembangunan dalam pasaran hartanah kediaman dan komersial.

Topmix dijadualkan akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang April 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini