
KUALA LUMPUR: Trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal pada suku kedua 2023 walaupun pada kadar sederhana antara 2.9 peratus dan 4.2 peratus apabila kesan asas yang tinggi bermula, menurut beberapa bank dan firma penyelidikan.
Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun penuh antara 4.0 dan 5.0 peratus kekal utuh.
Angka unjuran suku kedua 2023 dilihat sebagai sederhana berbanding pertumbuhan KDNK suku kedua 2022 iaitu 8.9 peratus, dipacu oleh peningkatan pasaran buruh, pembukaan semula sempadan dan bantuan dasar.
Ekonomi Malaysia mengembang 5.6 peratus pada suku pertama 2023 didorong oleh pertumbuhan menyeluruh merentas semua sektor terutamanya perkhidmatan dan pembuatan, masing-masing meningkat 7.3 peratus dan 3.2 peratus.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid amat yakin dengan prospek prestasi suku kedua 2023 dan mengunjurkan pertumbuhan 4.2 peratus.
Bank Negara Malaysia dijadual mengeluarkan perkembangan ekonomi dan kewangannya untuk tempoh suku kedua 2023 pada 18 Ogos 2023.
Sementara itu, Bank Islam menetapkan unjuran pada 3.7 peratus pertumbuhan KDNK sambil berkata ini akan menandakan pertumbuhan tahun ke tahun paling perlahan sejak suku keempat 2021 apabila kerajaan menarik balik kebanyakan sekatan COVID-19.
“Penggunaan swasta iaitu tunjang utama ekonomi kelihatan kekal teguh, disokong oleh perbelanjaan perayaan, inflasi secara beransur-ansur mereda, keadaan pasaran buruh yang kukuh dan ketibaan pelancong yang bertambah baik.
“Bagaimanapun, kadar pertumbuhan berkemungkinan lebih perlahan dalam keadaan kewangan yang lebih ketat dengan jualan runcit turun kepada 7.8 peratus pada suku kedua 2023 (suku pertama 2023: 19.5 peratus),” kata ketua ekonomi Firdaos Rosli kepada Bernama.
CGS-CIMB Securities Sdn Bhd pula menganggarkan pertumbuhan KDNK suku kedua 2023 berkembang sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun, diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan, manakala pembuatan dan pertanian berkurangan.
RHB Research menerusi nota penyelidikannya baru-baru ini telah menyemak turun unjurannya kepada 3.5 peratus berbanding anggaran sebelumnya 4.5 peratus berikutan prestasi yang lebih lemah daripada jangkaan untuk kedua-dua aktiviti sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Dalam notanya, Maybank Investment Bank Bhd mengunjurkan pertumbuhan suku kedua 2023 pada tiga peratus dan mengekalkan jangkaan pertumbuhan KDNK benar sepenuhnya semasa pada 4.5 peratus.
Hong Leong Investment Bank pula memberikan unjuran rendah sedikit iaitu pada 2.9 peratus tahun ke tahun, dipengaruhi oleh penyederhanaan dan penguncupan merentas semua sektor.
Ia juga berkata walaupun penggunaan swasta dijangka menyederhana, ia masih kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.
“Kami menjangkakan penyederhanaan dalam sektor pembuatan. Ini dicerminkan oleh kelembapan dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian pembuatan pada suku kedua 2023 (+0.1 peratus tahun ke tahun; suku pertama 2023: +3.4 peratus tahun ke tahun).
“Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan dalam aktiviti pembuatan berorientasikan eksport (-1.3 peratus tahun ke tahun; suku pertama 2023: +2.2 peratus tahun ke tahun), di tengah-tengah keadaan aliran perdagangan antarabangsa yang merosot dan pertumbuhan global yang perlahan,” katanya.
Bagaimanapun, pengeluaran berorientasikan domestik menunjukkan pengembangan berterusan (+3.6 peratus tahun ke tahun, suku pertama 2023: +6.0 peratus tahun ke tahun), walaupun pada kadar yang lebih perlahan.
Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan juga dijangka sederhana sejajar dengan jumlah indeks perkhidmatan yang lebih sederhana (+5.0 peratus tahun ke tahun; suku pertama 2023: +8.8 peratus tahun ke tahun.
Sasaran pertumbuhan rasmi 4-5 peratus untuk 2023 masih boleh dicapai
Firdaos Rosli dari Bank Islam berkata walaupun separuh pertama 2023 (1H 2023) mungkin tidak menentu berikutan persekitaran global, ekonomi Malaysia dijangka mampu melayari separuh kedua 2023 dengan isi rumah yang kukuh dan asas ekonomi yang utuh.
“Kami berpendapat sektor domestik masih akan menjadi pemacu utama, dirangsang oleh keadaan pasaran buruh yang stabil yang akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
“Selain itu, kejelasan dasar akan membuka jalan untuk meningkatkan sentimen untuk kedua-dua perniagaan dan pengguna – ini akan menjadi salah satu pemangkin penting untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata walaupun terdapat cabaran yang timbul daripada bahagian luar, bank itu percaya pertumbuhan setahun penuh Malaysia bagi tahun ini masih boleh dicapai dalam julat unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) 4.0 peratus hingga 5.0 peratus.