comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Lapan syarikat Australia minat melabur di Malaysia

 

MELBOURNE: Lapan syarikat Australia telah menyatakan komitmen untuk menambah pelaburan dan membawa pelaburan baharu ke Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata komitmen itu dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Mesyuarat Meja Bulat bersama Pemimpin Industri di sini, hari ini.

“Insya-Allah ada lapan syarikat yang telah berada di peringkat akhir. Saya merasakan akan ada lagi (syarikat menyatakan komitmen untuk melabur).

“Terdapat 18 syarikat yang berjumpa Perdana Menteri hari ini, selain mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan enam lagi syarikat,” katanya selepas mesyuarat bersama pemimpin dan eksekutif kanan industri Australia terbabit di sini, hari ini.

Tengku Zafrul menjelaskan, komitmen yang dinyatakan oleh syarikat-syarikat Australia itu membabitkan penambahan pelaburan sedia ada, selain membawa masuk pelaburan baharu.

Beliau berkata, proses memuktamad pelaburan itu akan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun, namun yang lebih penting untuk meyakinkan mereka supaya melabur di Malaysia.

“Mereka telah mengadakan pertemuan bersama MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan berunding bersama agensi-agensi berkaitan.

“Kami mengharapkan mesyuarat di sini, terutamanya dengan komitmen oleh Perdana Menteri sendiri yang telah memberikan jaminan kepada mereka untuk kita mempercepat proses dan memperbaharui beberapa dasar yang sedia ada,” katanya.

Mengenai pertemuan Anwar dengan pemimpin industri itu, Tengku Zafrul berkata, Perdana Menteri memberikan pandangan beliau mengenai peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia.

“Mesyuarat berlangsung dengan baik. Banyak isu yang dibangkitkan oleh syarikat dan pelabur dari Australia. Ada yang telahpun melabur dan ada yang akan melabur.

“Perdana Menteri kemudiannya mengadakan pertemuan bersemuka dengan beberapa syarikat dalam industri ekonomi digital, pembuatan berkaitan mineral dan sebagainya serta tenaga boleh diperbaharui.

“Kita akan buat pengumuman selepas ini apabila semua syarikat dan pelabur telah berjumpa dengan Perdana Menteri dan akan berkongsi (hasil pertemuan),” katanya.

Beliau menambah, antara isu yang dibangkitkan oleh syarikat-syarikat Australia supaya kerajaan terus mempermudah proses pelaburan dan juga perdagangan, walaupun proses ketika ini lebih baik berbanding sebelumnya, masih ada banyak lagi ruang untuk diperbaiki.

Isu kedua yang dibangkitkan pula, katanya, mengenai keperluan untuk kerajaan terus memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui memandangkan Malaysia mempunyai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

“Syarikat dan juga pelabur ingin mengetahui perkembangan terkini cara kita beralih kepada tenaga boleh diperbaharui kerana mereka memerlukannya untuk pelaburan di Malaysia,” katanya sambil menambah isu ketiga yang dibangkitkan ialah peranan Malaysia dalam perdagangan global, memandangkan mereka berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab untuk eksport ke luar negara.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan Lynas, Tengku Zafrul berkata, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan syarikat pengeluar nadir bumi itu dan dimaklumkan mengenai beberapa isu yang masih belum diselesaikan.

“Banyak (isu) yang telah diselesaikan. Cuma ada dua atau tiga cadangan baharu yang Perdana Menteri akan kaji, mempertimbang dan ini juga membabitkan penambahan pelaburan Lynas ke dalam Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini