comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Unit Malakoff, COF teroka teknologi rawatan sisa mesra alam

Anwar Syahrin (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Ketua Pegawai Eksekutif COF, Jeong Yeong-Hun. Foto – Malakoff

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Malakoff Corporation Bhd, Alam Flora Environmental Solutions (AFES) menandatangani perjanjian rakan kongsi teknologi dengan City Oil Field Inc (COF) untuk meneroka teknologi inovatif bagi rawatan sisa mesra alam.

Kedua-dua pihak akan mengenal pasti peluang perniagaan dan kelestarian alam sekitar di Malaysia dengan menggunakan kaedah dan peralatan teknologi Pirolisis bukan tradisional baharu dari Korea Selatan yang dibangunkan oleh COF untuk merawat sisa plastik dengan kaedah yang mesra alam.

AFES dan COF akan menyusun strategi dan menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menilai kebolehlaksanaan, keberkesanan serta daya maju komersial kemudahan grafin oksida yang dikurangkan (RGO), termasuk pembangunan dan operasi kemudahan RGO di Malaysia.

Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dan berkongsi sebarang pengetahuan mengenai ekonomi dan teknologi baru muncul, selain meneroka perniagaan berpotensi lain.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata kerjasama itu dilihat sebagai langkah progresif ke arah menggunakan penyelesaian inovatif untuk menguruskan sisa di Malaysia secara mampan.

“Ini sejajar dengan tonggak perniagaan syarikat yang baru diperkenalkan, Malakoff Environmental Solutions, yang muncul daripada usaha penjenamaan semula tahun lalu.

“Menerusi kerjasama strategik ini, AFES akan melaksanakan tugas penting untuk mengenal pasti tapak yang sesuai di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang untuk penubuhan kemudahan RGO,” katanya dalam satu kenyataan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini