comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung bersih RHB Bank susut kepada RM730.17 juta

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih RHB Bank Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 turun 4.1 peratus kepada RM730.17 juta daripada RM761.67 yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM4.4 bilion daripada RM3.92 bilion sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, bank itu berkata keuntungan bersih kumpulan untuk tiga bulan meningkat 24.6 peratus suku ke suku daripada RM585.9 juta yang dilaporkan pada suku keempat 2023, tetapi susut 4.1 peratus tahun ke tahun disebabkan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi dan jangkaan kerugian kredit (ECL).

Ia menyatakan bahawa perbelanjaan mengurus ialah RM959.2 juta, terutamanya disebabkan oleh kos kakitangan, penubuhan dan pemasaran yang lebih tinggi, manakala nisbah kos kepada pendapatan berada pada 45.9 peratus.

Bagi pendapatan berasaskan dana bersih, bank itu berkata ia meningkat sedikit tahun ke tahun kepada RM1.4 bilion berikutan pendapatan pendanaan yang lebih tinggi, terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman kasar dan pembiayaan sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun dengan margin faedah bersih (NIM) bagi suku berkenaan adalah pada 1.83 peratus.

Ia berkata, pendapatan bukan berasaskan dana meningkat 31.6 peratus tahun ke tahun kepada RM702.7 juta, terutamanya disebabkan oleh pendapatan yuran yang lebih tinggi, keuntungan bersih pertukaran asing dan derivatif, pendapatan dagangan dan pelaburan bersih, dan pendapatan bersih daripada perniagaan insurans.

RHB Bank berkata, kunci kira-kira dan kedudukan modalnya kekal teguh dengan jumlah aset meningkat sedikit setakat tahun ini kepada RM329.3 bilion dan kedudukan modal kekal kukuh dengan Ekuiti Biasa Tahap-1 dan jumlah nisbah modal masing-masing berada pada 16.5 peratus dan 19.2 peratus.

Kumpulan itu berkata, pinjaman dan pembiayaan kasarnya meningkat 1.1 peratus setakat tahun ini kepada RM224.9 bilion, terutamanya disokong oleh Perbankan Komuniti Kumpulan dan pertumbuhan di Singapura masing-masing sebanyak 1.2 peratus dan 4.8 peratus.

Akaun simpanan akaun semasa (CASA) meningkat 2.9 peratus setakat tahun ini kepada RM70.4 bilion, terutamanya disebabkan pertumbuhan yang disumbangkan oleh Perbankan Komuniti Kumpulan dan Perbankan Borong Kumpulan masing-masing sebanyak 2.3 peratus dan 5.4 peratus, katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini