comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung bersih suku kedua Alliance Bank susut kepada RM158.42 juta

Alliance Bank Malaysia Bhd.

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang merosot kepada RM158.42 juta pada suku kedua berakhir 30 Sept, 2022 (S2TK2023) daripada RM172.74 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil bagaimanapun, meningkat kepada RM480.57 juta daripada RM452.98 juta sebelum ini didorong oleh prestasi yang lebih baik dalam keutamaan strategik dan momentum pertumbuhan syarikat, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi separuh pertama berakhir 30 Sept, 2022, keuntungan bersih Alliance Bank meningkat kepada RM370.58 juta daripada RM318.76 juta sebelumnya manakala pendapatan turut naik kepada RM954.65 juta berbanding RM935.94 juta sebelumnya.

Bank itu berkata pendapatan faedah bersih meningkat 12.4 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada separuh pertama tahun kewangan 2023 kepada RM813 juta disebabkan oleh volum pinjaman yang lebih tinggi dan kesan kenaikan kadar dasar semalaman manakala margin faedah bersih naik 11 mata asas (bps) kepada 2.64 peratus.

Ia berkata pinjaman keseluruhan berkembang 6.7 peratus, mengatasi purata industri sebanyak 6.4 peratus, yang disumbangkan oleh pertumbuhan dalam perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan komersial, yang masing-masing meningkat 14 peratus dan 16.8 peratus tahun ke tahun.

“Pendanaan berasaskan pelanggan meningkat 8.4 peratus tahun ke tahun dan nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) kekal di atas bahagian industri pada 48.7 peratus,” katanya.

Alliance Bank berkata kos kredit bersih meningkat kepada 12.3 mata asas apabila pelanggan berjaya menamatkan program pelepasan pembayaran dengan pinjaman di bawah pelepasan dikurangkan kepada RM1.97 bilion, mewakili 4.2 peratus daripada jumlah buku pinjaman bank.

Ia berkata kedudukan modal dan mudah tunai bank kekal kukuh dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap-1 (CET 1) pada 15.1 peratus manakala nisbah Modal Tahap-1 pada 16.4 peratus.

Bank itu berkata jumlah nisbah modal pada 20.5 peratus, nisbah perlindungan mudah tunai pada 164.4 peratus dan nisbah pinjaman kepada dana pada 85.7 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kellee Kam berkata, keutamaan strategik telah membimbing bank untuk mencapai kejayaan dan keputusan yang mampan dalam sektor PKS seperti yang dibuktikan oleh bahagian pasarannya pada segmen itu berbanding saiznya dan peningkatan prestasi yang bertambah baik.

“Melangkah ke hadapan, kami akan menumpukan kepada peluasan strategi dan mengembangkan ke segmen baharu melangkaui PKS untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan kami,” katanya.

Sementara itu, Alliance Bank juga mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 12 sen sesaham yang akan dibayar pada 28 Dis, 2022. – BERNAMA

Loading...
Terkini