comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung bersih suku ketiga Public Bank meningkat 16.8% kepada RM1.59 bilion

KUALA LUMPUR, Nov 30 (Bernama) : Public Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM1.59 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2022, meningkat 16.8 peratus daripada RM1.36 bilion setahun sebelumnya.

Prestasi yang bertambah baik ini didorong terutamanya oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi sebanyak RM338.1 juta dan elaun rosot nilai pinjaman yang rendah sebanyak RM228.5 juta, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi berjumlah RM101.5 juta.

Hasil turut meningkat kepada RM5.50 bilion daripada RM4.81 bilion sebelumnya.

Untuk tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih bank itu meningkat 3.0 peratus kepada RM4.40 bilion daripada RM4.27 bilion disebabkan caj cukai tambahan daripada cukai kemakmuran sekali sahaja dalam tempoh semasa, manakala hasil melonjak kepada RM15.36 bilion daripada RM14.76 bilion.

Dalam satu kenyataan, Pengasas dan Pengerusi Emeritus Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata pertumbuhan keuntungan dalam tempoh sembilan bulan itu dirangsang terutamanya oleh pertambahan pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi sebanyak 7.7 peratus serta elaun susut nilai pinjaman yang  rendah sebanyak 70.0 peratus, tetapi sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan bukan faedah yang rendah sebanyak 11.0 peratus.

Bagi sembilan bulan pertama 2022, pinjaman dan deposit Kumpulan Public Bank terus mencapai pertumbuhan tahunan yang sihat, masing-masing sebanyak 5.8 peratus dan 4.5 peratus.

“Disokong oleh asas kukuh dan pengurusan berhemat, kumpulan itu mengekalkan ekuiti pulangan bersih yang berdaya tahan sebanyak 12.4 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 32.6 peratus.

“Nisbah pinjaman susut nilai/terjejas kasar kekal kukuh pada 0.3 peratus, walaupun program bantuan pembayaran balik Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi atau PEMULIH telah tamat,” katanya.

Berikutan prestasi yang menggalakkan itu, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 4.0 sen sesaham, yang akan menghasilkan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM776.4 juta.

Dividen interim kedua akan dibayar pada 23 Dis 2022, berdasarkan tarikh kelayakan dividen pada 15 Dis 2022, tambah Teh. – BERNAMA

Loading...
Terkini