comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung bersih suku pertama MISC melonjak kepada RM759.90 juta, umum dividen lapan sen

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih MISC Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2024 melonjak kepada RM759.90 juta daripada RM612.90 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas, dipacu oleh hasil yang lebih tinggi.​​​​

Syarikat gergasi perkapalan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini melaporkan hasilnya meningkat kepada RM3.64 bilion daripada RM3.08 bilion.

Ia turut  mengumumkan dividen pertamanya yang dikecualikan cukai sebanyak lapan sen sesaham, berjumlah RM357.1 juta, yang akan dibayar pada 27 Jun, 2024.

MISC berkata pendapatan segmen aset gas dan penyelesaiannya meningkat 2.6 peratus kepada RM775.3 juta daripada RM755.9 juta sebelumnya, terutamanya didorong oleh kesan ringgit yang semakin menyusut berbanding dolar AS pada suku semasa.

“Dari segi operasi, pendapatan segmen suku ini lebih rendah disebabkan penamatan kontrak dan pelupusan kapal,” katanya.

Dalam segmen perkapalan petroleum dan produknya, hasil meningkat 12 peratus kepada RM1.36 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2024 daripada RM1.21 bilion, didorong oleh pendapatan lebih tinggi berikutan penghantaran oleh kapal-kapal.

Bagi segmen marin dan kejuruteraan berat, ia menyaksikan lonjakan hasil 98.4 peratus kepada RM984.5 juta daripada RM496.2 juta, disumbangkan oleh peningkatan hasil daripada projek kejuruteraan berat yang sedang berjalan dan subsegmen marin.

Melangkah ke hadapan, MISC menjangkakan pasaran perkapalan gas asli cecair (LNG) kekal positif, dengan kadar semerta dijangka bertambah baik secara beransur-ansur sejajar dengan permintaan bermusim.

“Pendapatan operasi bagi segmen aset dan penyelesaian gas dijangka kekal stabil, disokong oleh portfolio piagam jangka panjangnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini