SHAH ALAM: Synergy House Bhd penjual e-dagang rentas sempadan dan pengeksport perabot rumah sedia dipasang (RTA) keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM8.5 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023.
Pencapaian itu didorong sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada pasaran segmen B2B seperti Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, serta segmen B2C di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom.
Pendapatan diraih kumpulan adalah sebanyak RM58.6 juta. PBT Kumpulan meningkat kira-kira RM4.9 juta atau 139.79 peratus daripada suku kewangan sebelumnya berakhir 31 Mac 2023.
Hasil Synergy House diperoleh daripada segmen pasaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan perniagaan-ke-pengguna (B2C).
Bagi suku kedua 2023, segmen B2B menyumbang RM32.1 juta atau kira-kira 54.78 peratus manakala segmen B2C menyumbang RM26.5 juta atau kira-kira 45.22 peratus daripada jumlah hasil kumpulan.
Pengarah Eksekutif Synergy House, Tan Eu Tah, berkata pihaknya amat gembira dengan keputusan suku ini dengan melihat potensi besar sebagai penjual e-dagang rentas sempadan dan pertumbuhan dalam segmen B2C seperti yang dibenarkan oleh keputusan baru-baru ini membuktikan bahawa Kumpulan berada dalam arah dan trajektori yang betul.
“Dengan pasaran baharu kami serta melabur dalam pengiklanan dan mempromosikan jenama kami, kami yakin dapat memaksimumkan capaian pasaran dan hasil kami pada masa hadapan.
“Pasaran Amerika adalah penyumbang terbesar kepada hasil kami, dengan jualan B2C menyumbang sebahagian besar jualan AS pada suku kewangan semasa.
Kami komited untuk memanfaatkan peluang yang dibentangkan oleh e-dagang perabot B2C, terutamanya dalam pasaran dan platform yang mantap,” katanya di sini hari ini.
Bagi separuh pertama TK2023, Kumpulan mencapai jumlah hasil sebanyak RM50.7 juta dalam segmen B2C, yang telah melebihi jumlah hasil yang dijana daripada segmen B2C untuk keseluruhan tahun sebelumnya, TK2022 sebanyak RM49.6 juta.
Katanya, dengan tumpuan strategik, Synergy House bersedia untuk memanfaatkan potensi pasaran perabot e-dagang global dan meningkatkan bahagian pasarannya, terutamanya dalam pasaran seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada.