
IPOH: SNS Network Technology Bhd (SNS), penyedia produk, perkhidmatan dan penyelesaian ICT, mengumumkan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM11.90 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2023.Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 15.3 peratus daripada RM10.32 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Pencapaian itu didorong pemerolehan pendapatan kumpulan bagi suku kewangan berakhir 31 Julai 2023 telah meningkat sebanyak 12.1 peratus kepada RM332.88 juta berbanding RM296.93 juta pada suku yang sama tahun lalu.Pengarah Urusan SNS, Ko Yun Hung, berkata, beliau teruja dengan pertumbuhan berterusan, terutamanya dalam saluran komersial, yang menandakan keyakinan perniagaan yang kukuh dalam penawaran ICT syarikat.
“Sektor ICT kekal sebagai tonggak kukuh bagi kedua-dua infrastruktur ekonomi dan sosial. Memandangkan perniagaan semakin memilih fleksibiliti dan kecekapan kos melalui langganan Peranti-sebagai-Perkhidmatan (DaaS), kami memberi tumpuan untuk mengembangkan perkhidmatan ini.”Ini akan berfungsi sebagai pemangkin dalam mengukuhkan hubungan pelanggan sedia ada kami sambil menarik pelanggan baharu,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat sebanyak 14.4 peratis daripada RM7.89 juta kepada RM9.02 juta.Kedua-dua peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan dalam hasil Kumpulan daripada saluran komersial dan keuntungan kasar yang bertambah baik.
Yun Hung berkata, dari segi pembahagian hasil bagi suku kewangan berakhir 31 Julai 2023, sebahagian besar hasil kumpulan sebanyak RM332.88 juta didominasi oleh penjualan produk ICT, berjumlah RM328.63 juta.”Penyediaan pembaikan peranti dan perkhidmatan berkaitan, serta perkhidmatan jalur lebar, menyumbang tambahan RM4.25 juta. Dari segi geografi, Malaysia terus menjadi teras utama, menjana pendapatan RM321.35 juta.”Singapura menyumbang RM6.26 juta dan Hong King menyumbang RM0.45 juta, manakala pasaran lain termasuk Australia, Brunei, Indonesia, Maldives dan Vietnam yang menggenapkan baki RM4.82 juta,” jelasnya.
Memandang ke hadapan, kumpulan kekal optimistik tentang prospek industri ICT, berikutan permintaan yang berterusan untuk produk ICT dan asas pelanggan yang kukuh dan berkembang.Selaras dengan aliran industri ini, kumpulan merancang untuk memanfaatkan inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk transformasi digital dan untuk menyokong pendidikan digital di sekolah.
Dalam pada itu, kumpulan turut mengumumkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 0.25 sen sesaham biasa berjumlah RM4.032 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 dengan jumlah perlu dibayar pada 24 November 2023.Ini dicatatkan sebagai pengagihan dividen keempat daripada Kumpulan sejak penyenaraiannya pada September 2022.