comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Usaha Malaysia ke arah minyak sawit mapan buahkan hasil

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seiring tumpuan global terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), sektor minyak sawit Malaysia telah berada di barisan hadapan dalam menangani isu berkaitan penebangan hutan dan hak asasi manusia.

Datametrics Research and Information Sdn Bhd (DARE) dalam satu kenyataan berkata, usaha pemain industri juga telah memberi impak positif dari segi keuntungan yang telah direkodkan kerana pembeli produk sawit mengiktiraf industri dengan kuasa membeli mereka.

“Tahun lalu, dengan rekod harga minyak sawit mentah yang tinggi, Malaysia menyumbang hampir satu pertiga daripada minyak sawit mentah yang dihasilkan secara global dan jumlah hasil eksport minyak sawit melonjak kepada hampir RM138 bilion,” katanya.

Menurut badan pemikir atau institut dasar yang berpangkalan di Malaysia itu, industri minyak sawit Malaysia telah mencapai kemajuan besar kerana kira-kira 96 peratus daripada petani pekebun kecil negara telah mendapat pensijilan dari Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), merangkumi kira-kira 40 peratus daripada penanaman minyak sawit di Malaysia.

“MSPO merupakan piawaian kemampanan yang dimandatkan secara nasional yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang, yang pertama seumpamanya di dunia, dan telah memainkan peranan penting dalam menyokong usaha dan proses pengurangan risiko pengendali dan peniaga di seluruh rantaian bekalan industri minyak sawit Malaysia.

“Manakala, Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) mempunyai matlamat yang sama seperti MSPO dari segi kemampanan. RSPO juga berusaha untuk menarik lebih ramai pekebun kecil, namun MSPO jauh lebih murah untuk pekebun kecil tempatan berbanding RSPO, yang sebahagian besarnya adalah disasarkan untuk syarikat korporat yang sudah tentu mempunyai pendapatan yang lebih besar.

“MSPO bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu tanah, khususnya berkaitan pekebun kecil untuk menambah baik sistem kebolehkesanan MSPO bagi keseluruhan rantaian bekalan,” katanya.

Malaysian Palm Oil Board (MPOB) baru-baru ini mengumumkan hampir 500,000 pekebun kecil negara dijangka akan diletakkan pada platform yang akan mengesan transaksi bagi membantu mereka mematuhi kriteria dan keperluan kebolehkesanan untuk pensijilan kemampanan.

Platform ini adalah untuk mengumpul data yang merekod dan menjejak butiran transaksi produk minyak sawit dan juga sebagai persediaan untuk mematuhi perundangan Kesatuan Eropah (EU).

DARE berkata, ia akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan kerana industri minyak sawit kita akan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan yang mematuhi piawaian antarabangsa.

Loading...
Terkini