comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

‘Waspada cubaan menyamar jadi pegawai NSRC, sasar pelanggan bank’

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

ABM dan AIBIM dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, jumlah penipuan semakin meningkat, pelanggan bank menjadi sasaran sindiket penipuan itu.

Kenyataan itu menggesa pelanggan untuk segera menutup telefon jika mereka menerima panggilan daripada individu mendakwa sebagai pegawai NSRC kerana NSRC hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan tidak membuat sebarang panggilan keluar kepada individu.

Ia turut menggariskan modus operandi sindiket penipuan berkenaan, ‘scammer’ akan menyamar sebagai pegawai NSRC dan cuba menakutkan mangsa dengan mendakwa bahawa maklumat peribadi mereka seperti nombor kad pengenalan atau nombor telefon bimbit mereka dikaitkan dengan aktiviti haram atau penipuan.

Penipuan bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali, mendakwa sebagai pegawai NSRC, seterusnya scamer akan memberitahu bahawa identiti atau butiran peribadi mangsa telah digunakan dalam aktiviti jenayah seperti pengubahan wang haram dan urus niaga ‘keldai akaun’.

Sindiket ini akan menggunakan taktik ‘soal siasat’ yang panjang, meniru penyiasatan sebenar untuk menyakinkan mangsa, ia membabitkan panggilan telefon berulang dalam tempoh berpanjangan.

Akhirnya, selepas mendapat kepercayaan mangsa, scammer akan meminta mangsa untuk meninggalkan kad debit/ATM mereka di lokasi yang ditetapkan.

Ia membolehkan ‘scammer’ mengakses akaun perbankan dalam talian mangsa untuk membuat pemindahan dan pembayaran bil tanpa kebenaran serta membuat pengeluaran tunai tanpa kebenaran di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menggunakan kad bank mangsa.

Jika mangsa tidak mempunyai kemudahan perbankan dalam talian sedia ada, scammer boleh mendaftar untuk mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini