comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Widad dijangka bina infrastruktur projek The Langkasuka hujung tahun ini

Widad Business Group Sdn Bhd

KUALA LUMPUR: Projek mega ‘The Langkasuka’ di Langkawi, Kedah dijangka akan memulakan kerja pembinaan infrastruktur pada suku keempat 2024.

The Langkasuka adalah projek pembangunan bercampur oleh Widad Business Group Sdn Bhd (WBG), konglomerat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu termasuk sebuah pulau buatan di Langkawi, Kedah dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM40 bilion.

Ketua Strategi Korporat WBG, Ilham Widad Muhammad Ikmal Opat, berkata ketika ini pembangunan The Langkasuka masih lagi berada dalam proses kerja lapangan sebelum memasuki kerja pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata, kerja lapangan dijangka akan selesai tidak lama sekali gus membolehkan kumpulan melaksanakan kerja pembinaan bermula pada hujung tahun ini.

“Proses pembangunan sedang berjalan dalam fasa kerja lapangan ketika ini.

Kami jangkakan proses kerja pembinaan infrastruktur akan bermula hujung tahun ini.”Fasa 1 adalah penyiapan villa dan juga padang golf yang disasarkan akan terlaksana dalam tempoh dua tahun ini, kerjasama dengan beberapa rakan kongsi strategik kami,” katanya ketika ditemui BH baru-baru ini.

Ketika ditanya adakah projek pembangunan The Langkasuka tidak mengikut jadual yang ditetapkan selepas dilancarkan pada 2021 sebelum majlis pecah tanah pada 2022, Ilham Widad berkata, projek itu masih berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Beliau berkata, projek mega itu juga mendapat sokongan daripada kerajaan negeri dalam kelulusan beberapa perkara yang diperlukan termasuk perolehan tanah.

Projek yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka itu dijangka akan disiapkan dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang sekali gus bakal mengubah landskap Langkawi dan menjadi tarikan baru di lokasi pelancongan utama negara itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini