comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

WQ-FF kumpul dana agregat RM46.7 juta – SC

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Seri Awang Adek Hussin. Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Dana bercirikan wakaf (WQ-FF) telah mengumpul dana agregat berjumlah RM46.7 juta sehingga Disember 2022, menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Pengerusinya, Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata walaupun jumlahnya mungkin sedikit rendah, ia adalah petunjuk yang jelas bahawa WQ-FF berada dalam landasan yang tepat.

Beliau berkata enam WQ-FF telah dikeluarkan selepas pelancaran Rangka Kerja WQ-FF pada 2020.

“WQ-FF membolehkan pelabur memberikan sebahagian daripada dividen mereka daripada unit amanah atau dana borong kepada projek amal atau kebajikan dalam bentuk tunai,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Wakaf dan Pasaran Modal Islam hari ini.

Awang Adek berkata rangka kerja itu telah diperluaskan pada tahun lepas untuk merangkumi Amanah Pelaburan Hartanah Islam (REIT) dan dana dagangan bursa Islam untuk meningkatkan dan meluaskan lagi pilihan produk.

Beliau berkata Rangka Kerja WQ-FF telah dapat menggalakkan kerjasama yang lebih baik antara Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) dan majlis agama Islam negeri.

“Kami gembira dengan perkembangannya setakat ini. Terdapat peningkatan dalam usaha semua pihak untuk meninjau dan mengenal pasti potensi pembangunan aset wakaf,” katanya.

Awang Adek berkata kewangan sosial Islam, terutamanya wakaf, mempunyai banyak ruang untuk pertumbuhan, memanfaatkan pelbagai instrumen pasaran modal Islam yang boleh didapati untuk menyokong pembiayaan kemampanan selain menangani ketidakseimbangan dan pembangunan sosio-ekonomi.

Bagi mengoptimumkan instrumen kewangan Islam, katanya SC dan semua pihak berkepentingan perlu berusaha ke arah matlamat yang sama dengan tujuan yang sama, iaitu meletakkan kewangan sosial Islam yang tinggi dalam agenda nasional, sejajar dengan tumpuan yang semakin meningkat terhadap pembiayaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) di peringkat global. — BERNAMA

Loading...
Terkini