HOME / Dewan Rakyat

Kaedah Penggiliran Sekolah Untuk Kembalikan Semangat Murid-Radzi

Pelaksanaan kaedah penggiliran ke sekolah serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bertujuan untuk mengembalikan semangat murid.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata ia susulan negara yang mengalami tempoh sukar sejak 2020 yang menyebabkan sekolah ditutup untuk tempoh yang lama.

“Kita sedar dalam konteks pembukaan sekolah pada Mac tahun ini, ibu bapa dan masyarakat melihat keadaan sekolah adalah selamat tetapi apabila keluar sekolah, banyak kesesakan berlaku.

“Jadi kita duduk berbincang apakah pendekatan terbaik terutama mengambil kira varian Delta, sebab itu kita bincang, kita kurangkan murid kepada separuh,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai perincian pelaksanaan sesi persekolahan bersemuka dan PdPR pada masa sama, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian Pendidikan sebelum ini memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka dengan kaedah penggiliran murid secara mingguan, dapat mengurangkan kapasiti di dalam kelas sekali gus mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di sekolah.

Menurutnya kaedah penggiliran juga dapat membantu guru membuat pengawalan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan murid, memandangkan jumlah mereka dikurangkan 50 peratus.

Sementara itu, Radzi berkata kementerian berkenaan turut menyediakan manual pengoperasian pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara penggiliran untuk panduan guru besar, guru, pelajar, ibu bapa dan penjaga, bagi memastikan ia dilaksanakan dengan baik apabila sekolah dibuka mulai 3 Okt ini.

Kepada soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai kemasukan pelajar khususnya dari kawasan luar bandar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Radzi berkata ia dinilai berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), susulan pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Katanya, PKSK tidak hanya memfokuskan kepada aspek akademik semata-mata, tetapi juga mengambil kira potensi dan kebolehan murid untuk kemasukan ke SBP.

Pada sesi soal jawab pula, Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin menjelaskan KPM sedang merangka dasar komprehensif bagi memperkukuhkan pengambilan murid ke SBP, dengan memberikan keutamaan kepada mereka yang berpotensi dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.– BERNAMA