comscore
Tumpuan :
Dewan Rakyat

[VIDEO] Parlimen dijangka terima pemakluman sidang pertama minggu depan

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menjangkakan pemakluman mengenai Sidang Dewan Rakyat akan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, minggu depan.

“Saya jangka minggu depan,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai pengumuman Sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 19 Disember ini seperti dimaklumkan malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media pertamanya selepas dilantik memaklumkan Sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 19 Disember ini bagi membentangkan antara lain usul percaya kepada Perdana Menteri.

Katanya, agenda lain ialah majlis mengangkat sumpah semua Ahli Parlimen dan pembentangan rang undang-undang (RUU) belanjawan mini bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.

Usul percaya itu bakal membuktikan keabsahan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri, sekali gus memperkukuh kestabilan Kerajaan Perpaduan, yang merangkumi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan (WARISAN), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.

Pembentangan belanjawan mini untuk kelulusan emolumen itu penting bagi memastikan tiada kebimbangan dalam kalangan penjawat awam berhubung gaji, berikutan Bajet 2023 masih belum diluluskan.

Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang.

Penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri.

Menurut peruntukan yang sama, mesyuarat Parlimen yang pertama hendaklah diadakan dalam masa 120 hari dari tarikh pembubaran Parlimen.

Kerajaan perlu dibentuk lebih awal dari tarikh persidangan Parlimen yang pertama kerana negara perlukan kerajaan bagi urusan pentadbiran negara. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini