comscore
Tumpuan :
Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Cadang Pengeluaran KWSP Kali Terakhir, i-Ceria

Seorang Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan ‘i-Ceria’ Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu kemudahan pengeluaran wang buat kali terakhir.

Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol), ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini berkata, hal ini kerana terdapat keperluan mendesak bagi sebilangan rakyat Malaysia menggunakan wang persaraan mereka itu bagi tujuan meneruskan kelangsungan hidup.

“Tuntutan ini bukan menidakkan kebimbangan kerajaan terhadap simpanan hari tua, tuntutan saya ini juga bukanlah menafikan fakta mengenai 20 peratus daripada pencarum KWSP tidak mempunyai simpanan yang cukup di hari tua.

“Tuntutan saya pada hari ini adalah semata-mata untuk memastikan permintaan Keluarga Malaysia dipenuhi, khususnya buat mereka yang masih bergelut dengan kesusahan akibat pandemik COVID-19, ditambah pula musibah banjir yang telah berlaku baru-baru ini,” katanya. 

Justeru, Mohd Salim berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula tuntutan rakyat iaitu pengeluaran KWSP untuk kali terakhir dan secara bersasar bagi mereka yang memerlukan, bergantung kepada jumlah simpanan.

Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pengeluaran wang KWSP menerusi beberapa siri inisiatif, i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari.  

Cadangan berkenaan turut dipersetujui beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit), M. Karupaiya (PH-Padang Serai), Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) dan Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat). 

Sementara itu Karupaiya dan Hasan berpendapat, kerajaan perlu mengawal kenaikan harga barang susulan tindakan peniaga yang tidak bertanggungjawab cenderung menaikkan harga ketika rakyat menerima bantuan kewangan.

Hasan berkata, ini menyebabkan kuasa beli kalangan rakyat semakin berkurang walaupun mempunyai wang, oleh itu kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan dalam mengawal harga barangan terutama di kawasan luar bandar. 

Xavier pula berpendapat cadangan i-Ceria itu bertepatan dengan keadaan semasa ekonomi negara yang memerlukan masa untuk kembali pulih seperti sebelum ini dan kerajaan bertanggungjawab membantu anggota Keluarga Malaysia khususnya golongan B40.  – BERNAMA

Loading...
Terkini