comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Kecederaan Fasha Sandha diharap buka mata penggiat seni carum SKSPS PERKESO

Hafiz berharap lebih ramai ahli mendapatkan maklumat mengenai SKSPS demi perlindungan diri jika berlaku musibah ketika bekerja. – FOTO: Ihsan Hafiz Nafiah

KUALA LUMPUR : Kecederaan yang menimpa Fasha Sandha ketika melakonkan babak dalam penggambaran telefilem Anak Tuan di Johor Bahru, kelmarin, diharap membuka mata penggiat seni untuk mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Hafiz Nafiah berkata, pihaknya berharap lebih ramai ahli mendapatkan maklumat mengenai SKSPS demi perlindungan diri jika berlaku musibah ketika bekerja.

Kelmarin, Fasha berkongsi klip video kemalangan kecil di set penggambaran telefilem Anak Tuan arahan Along Kamaluddin.

Melalui paparan rakaman video itu, Fasha dilihat ditolak pelakon gandingan, Azhan Rani sehingga kepala dan matanya terkena pada bucu katil secara tidak sengaja. Fasha dilihat meraung kerana menahan kesakitan daripada kecederaan dialami.

“Selepas insiden menimpa Fasha, SENIMAN berharap lebih ramai ahli mengambil tahu mengenai SKSPS yang diusahakan SENIMAN bersama PERKESO.

“Kita harap lebih ramai ahli mencarum dengan skim itu selepas ini,” katanya.

Hafiz berkata, sejak 2021 hingga 2022, hanya 82 ahli SENIMAN berdaftar di bawah SKSPS sedangkan kerjasama dengan PERKESO dimeterai sejak 2020.

“Setakat ini, lebih 10 ahli SENIMAN mendapat bantuan dan faedah dari SKSPS selepas tuntutan dibuat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, SENIMAN kesal dengan kenyataan Datuk Fizz Fairuz yang dimuat naik di Instagram (IG) mendakwa badan itu tidak menyediakan pelan perlindungan seperti caruman PERKESO kepada penggiat seni susulan insiden menimpa Fasha.

“Kami ingin nyatakan selama ini banyak inisiatif dan dasar yang diambil SENIMAN, namun, mungkin Fizz tidak pernah mengambil tahu.

“SENIMAN kesal dengan kenyataan dikeluarkan Fizz yang dianggap ‘serkap jarang’ tanpa usul periksa dengan kami.

“Ini sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti dan imej SENIMAN,” katanya dalam kenyataan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini