comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Refleksi ‘NIYAT’ Dhan Illiani

Oleh: Fahiz Ariff

PETALING JAYA: Dhan Illiani Yusof antara figura yang sedang meningkat naik dalam kalangan pengikut pergerakan seni kontemporari.

Ia bukti hasil kerja kerasnya sejak dia berusia 15 tahun.

Terkini, langkahnya itu terus diperluas, menerusi pameran ‘NIYAT.’

Mengangkat tema multidisiplin, gadis berusia  27 tahun itu antara generasi pelapis di Malaysia yang memastikan karya di dalam seni itu terus menambat hati peminat seni kontemporari.

Bercerita mengenai karya yang dipamerkan di Pameran Hanya Satu: ‘NIYAT’, Dhani mengakui ia antara karya seni yang agak ‘rumit’ untuk dihasilkannya.

Bagaimanapun, anak jati Selangor ini nekad mengangkat karya itu dengan menekankan tema refleksi diri khususnya dalam isu sosio-masyarakat.

“Bagi saya, ‘Niat’ atau ‘NIYAT’ adalah idea menarik yang cukup subjektif maknanya.”

“Jadi, dari situ saya mengembangkan idea tersebut untuk mengubahnya kepada satu karya tentang bagaimana tema itu mampu mempengaruhi formasi sesebuah makna jika dijadikan sebagai bentuk seni.”

“Kerana bagi saya, kesenian itu adalah sebuah proses membentuk tujuan, dan jika berjaya diterjemahkan mengikuti kreativiti seseorang artis, sebuah karya penuh makna dapat dihasilkan,” katanya kepada Buletin TV3.

Dhani yang juga seorang pemain hoki ais kebangsaan berkata dia mengambil masa kira-kira dua bulan untuk menterjemah karyanya sebelum dibuka untuk pameran.

Mengakui tempoh itu singkat, namun hal itu bukan penghalang baginya untuk menjayakan pameran solo yang julung kali diadakan itu.

“Persediaan dari segi waktu itu sangatlah singkat dan suntuk. Boleh dikatakan saya mengambil masa 2 bulan, iaitu 1 bulan untuk merancang dan 1 bulan untuk melengkapkan karya saya sebelum dibuka untuk pameran,” jelasnya.

Dedah Dhani, perkataan ‘NIYAT’ itu sebenarnya juga merupakan nama timangannya.

Loading...
Terkini