comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

[VIDEO] Saya anak jati Malaysia – Michelle Yeoh

 

KUALA LUMPUR : “Saya anak Malaysia sejati.”

Itu pengakuan bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh ketika berucap pada acara bertemu peminat di ruang legar pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur di sini, petang tadi.

Yeoh berkata, biarpun jauh di mata, beliau dapat merasakan sokongan dan kasih sayang peminat tempatan terhadapnya.

Yeoh mengambil peluang merakam foto ketika melalui karpet merah pada majlis meraikan kejayaannya di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, petang tadi. FOTO: NSTP

“Saya dapat rasakan cinta dan kasih sayang kalian dan saya sangat menghargainya.

“Segala sokongan dan kata-kata semangat tetap didengari walaupun saya tidak berada di Malaysia.

“Walau di mana pun saya berada, wajah anda tetap di hati,” katanya sambil disambut sorakan lebih 3,000 peminat.

Tampil mengenakan gaun warna hitam dihiasi bunga-bunga kecil pada kaki, Yeoh cukup teruja dengan sambutan diberi.

Yeoh diiringi ibunya, Datin Janet Yeoh dan pasangannya, Datuk Seri Jean Todt pada acara itu.

Sebelum turun ke pentas utama, Yeoh dibawa melalui hamparan karpet merah sepanjang 500 meter dengan trofi Oscar erat dalam genggaman sambil melambai ke arah peminat yang tidak henti memberi sorakan.

Kagum dengan semangat yang ditunjukkan, Yeoh tidak kisah meredah gerimis di lokasi kira-kira jam 4 petang tadi.

Yeoh mengucapkan terima kasih atas sokongan peminat tempatan ketika berucap pada majlis meraikan kejayaannya di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, petang tadi. FOTO: NSTP

Dalam pada itu, Yeoh turut memaklumkan trofi Oscar dimenanginya akan disimpan ibunya, buat sementara waktu.

“Saya akan kembali ke London untuk menjalani penggambaran filem Wicked arahan John Chu. ‘Encik O’ (trofi) akan saya beri kepada ibu untuk disimpan sementara waktu,” katanya.

Terdahulu, Yeoh tampil pada sidang media selama kira-kira 30 minit di sebuah hotel di sini.

Sidang media itu dihadiri lebih 200 media tempatan dari luar negara termasuk Jepun.

Pada 13 Mac lalu, Yeoh mencatat sejarah apabila muncul bintang Asia pertama menang trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Academy (Oscar) di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Kemenangan itu menerusi penampilan Yeoh dalam filem Everything Everywhere All At Once (EEAAO) yang menang besar pada edisi ke-95 acara pengiktirafan filem terkemuka dunia itu.

Loading...
Terkini