Tumpuan :
Dunia

100 lori bantuan makanan dirompak secara kejam di Gaza – Agensi PBB

Trak yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Semenanjung Gaza di persimpangan Karem Shalom di selatan Israel. – FOTO: Reuters

KAHERAH: Kira-kira 100 lori yang membawa makanan untuk penduduk Palestin dirompak secara kejam pada Sabtu lalu selepas memasuki Gaza, salah satu misi pemberian bantuan terburuk sepanjang tempoh 13 bulan perang di kawasan itu yang menyaksikan kelaparan semakin meruncing, kata dua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Konvoi lori membawa makanan disediakan agensi PBB, Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan Program Makanan Sedunia (WFP), diarahkan oleh Israel untuk berlepas dalam notis singkat melalui laluan daripada lintasan sempadan Kerem Shalom, kata pegawai kanan kecemasan UNRWA, Louise Wateridge.

Sebanyak 98 daripada 109 lori dalam konvoi itu diserang dan beberapa pemandu turut cedera dalam insiden berkenaan, kata Wateridge tanpa memperincikan siapa yang bertanggungjawab dalam serangan terbabit.

“Ini menunjukkan betapa seriusnya cabaran akses bagi membawa bantuan ke Gaza selatan dan tengah.

“Krisis ini amat mendesak tanpa campur tangan segera, kekurangan makanan yang teruk akan semakin memburuk dan membahayakan lebih dua juta nyawa yang bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup,” katanya kepada Reuters.

Sementara itu, jurucakap WFP mengesahkan kejadian rompakan itu dan berkata, banyak laluan di Gaza kini tidak dapat dilalui akibat isu keselamatan.

Seorang pegawai bantuan PBB pada Jumaat berkata, akses bantuan ke Gaza sudah pun mencapai tahap paling rendah dengan penghantaran ke bahagian utara Gaza yang dikepung hampir mustahil.

Kempen tentera Israel memusnahkan Gaza bermula selepas serangan yang diketuai pejuang Hamas pada 7 Oktober tahun lalu di selatan Israel.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini