comscore
Tumpuan :
Dunia

11 orang termasuk kanak-kanak maut dalam serangan udara Israel di Gaza

Asap berkepul di udara selepas tentera Israel melakukan serangan udara di kawasan perumahan di Gaza. – FOTO: Agensi

GAZA: Serangan terbaru Israel ke atas Gaza sudah membunuh sekurang-kurangnya 151 orang, termasuk 11 di sebuah rumah, kata pegawai kesihatan Palestin pada Jumaat sementara Pejabat Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Israel menghalang usahanya untuk menghantar bantuan ke utara.

Pegawai kesihatan Gaza berkata, 11 mangsa termasuk kanak-kanak itu dibunuh dalam serangan udara ke atas sebuah rumah di Deir al-Balah milik keluarga Fayad.

Bagaimanapun, Israel tidak memberikan maklum balas secara terperinci dan berkata, pasukannya membunuh puluhan pejuang di Maghazi yang berdekatan dan di bandar selatan Khan Younis.

Sayap bersenjata Hamas dan pejuang Jihad Islam masing-masing berkata, pejuang mereka memusnahkan kereta kebal dan jentolak Israel dengan roket di beberapa kawasan tentera Israel beroperasi.

Kerajaan Israel menuduh Hamas sengaja menggunakan orang awam sebagai perisai manusia selain mengalihkan bantuan, tuduhan yang ditolak oleh pejuang itu.

Pejabat Kemanusiaan PBB berkata, pihak berkuasa Israel menyekat usahanya untuk membantu penduduk yang tinggal di utara kerana takut pejuang akan merampas bekalan.

“Usaha kami untuk sampai ke sana tidak dibenarkan pihak Israel.

“Secara khususnya, mereka tidak membenarkan kami membantu hospital, bagi saya satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan,” kata Ketua Pejabat PBB untuk penyelarasan kemanusiaan di wilayah Palestin yang diduduki. Andrea de Domenico.

Pegawai kesihatan Gaza, berkata serangan Israel setakat ini membunuh 23,708 orang dan mengakibatkan lebih 60,000 kebanyakannya orang awam cedera.

“Ramai mangsa masih di bawah runtuhan dan di jalan raya. Anggota pasukan penyelamat dan kecemasan tidak dapat menyelamatkan mereka,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra, sambil menambah 151 yang dilaporkan terbunuh itu dibawa ke hospital.

Israel berkata, mereka tidak mempunyai pilihan untuk menamatkan pemerintahan Hamas di Gaza selepas pejuang yang bersumpah kepada kemusnahan Israel itu membunuh 1,200 orang terdiri orang awam dan menahan 240 tebusan.

Lebih 100 tebusan kekal di Gaza dan Israel berkata, pihaknya sudah membuat perjanjian dengan Qatar yang akan membolehkan penghantaran ubat-ubatan kepada tebusan yang memerlukannya.

Pada hari kedua pendengaran di ICJ, Israel menolak pertuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam kes di bawa oleh Afrika Selatan dengan mengatakan ia sebagai ‘tidak berasas’. – AGENSI

Loading...
Terkini