comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] 125 penduduk Gaza maut dalam serangan 24 jam

GAZA: Kementerian kesihatan Gaza melaporkan, 125 terbunuh dan 318 lagi cedera akibat pengeboman Israel dalam tempoh 24 jam lalu.

Semenanjung Gaza kini menjadi sebuah zon pertempuran yang sebahagian besarnya musnah, dengan Khan Younis, bandar terbesar di selatan wilayah itu, antara yang paling teruk terjejas.

Setakat ini, perang Israel-Palestin yang mahu memasuki bulan ketiga, tidak menunjukkan tanda akan reda, sebaliknya makin merebak di Asia Barat dengan membabitkan Iran Lubnan, Yaman dan Syria.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken kembali ke Asia Barat untuk lawatan keempatnya di rantau itu sejak serangan Hamas pada 7 Oktober lalu mencetuskan perang paling berdarah di Gaza.

Blinken akan mengadakan rundingan sukar dengan pemimpin Israel mengenai ‘langkah segera untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza’, kata jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller.

“Kami tidak menjangkakan setiap perbincangan dalam kunjungan ini mudah. Jelas terdapat isu sukar yang dihadapi rantau ini dan pilihan sukar di hadapan,” kata Miller.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, John Kirby, menegaskan walaupun Israel boleh mencapai matlamat ketenteraannya, hasratnya untuk menghapuskan Hamas sama sekali masih diragui dapat dicapai.

“Kami percaya ia benar-benar satu matlamat yang boleh dicapai pasukan tentera Israel untuk… menewaskan kebolehan Hamas melakukan serangan di dalam Israel.

“Adakah anda akan menghapuskan ideologi itu? Tidak. Adakah anda mungkin akan memadamkan kumpulan itu daripada wujud? Mungkin tidak,” katanya.

Peperangan Israel terhadap Hamas kini merebak menjadi konflik serantau yang lebih besar selepas serangan di Lubnan, yang diandaikan secara meluas dilakukan Israel.

Ia mengakibatkan pembunuhan pemimpin Hamas, Saleh al-Aruri, yang dikebumikan pada Khamis dan diratapi orang ramai.

Hizbullah berikrar bahawa pembunuhan Saleh dan enam lagi anggota Hamas di kawasan asalnya tidak akan terlepas daripada hukuman, melabelkannya sebagai ‘serangan serius ke atas Lubnan dan satu perkembangan berbahaya’. – AFP

Loading...
Terkini