
GOMA: Seramai 13 anggota tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Afrika Selatan, Malawi, dan Uruguay maut dalam pertempuran di timur Republik Demokratik Congo (DRC), kelmarin.
Tragedi itu berlaku ketika askar Congo berperang dengan tentera pembebasan M23 yang disokong Rwanda, dengan pasukan M23 dilaporkan cuba mara ke Goma, sebuah bandar penting di timur yang kaya dengan mineral dan menempatkan lebih sejuta penduduk.
Kesatuan Afrika (AU) dan Kesatuan Eropah (EU) menyeru agar pertempuran itu dihentikan segera, manakala Majlis Keselamatan PBB (UNSC) memanggil mesyuarat tergempar, yang dijadualkan berlangsung lebih awal akibat situasi semakin meruncing.
Dalam kenyataan hari ini, kerajaan Afrika Selatan melaporkan Angkatan Pertahanan Nasional mereka kehilangan sembilan anggota, dengan tujuh daripadanya adalah sebahagian pasukan serantau Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dan dua lagi pengaman PBB.
Tentera Malawi turut melaporkan kehilangan tiga anggotanya yang bertugas dengan pasukan SADC dalam pertempuran dengan M23. Sementara itu, tentera Uruguay mengesahkan seorang anggota pengaman PBB terbunuh, manakala empat lagi cedera.
Kejadian turut disusuli laporan sebuah kenderaan berperisai pasukan pengaman PBB, MONUSCO, terbakar di jalan antara Goma dan Sake, lokasi pertempuran sengit dalam beberapa hari terakhir.
Menurut PBB, seramai 400,000 penduduk tempatan telah melarikan diri akibat pertempuran yang bermula sejak awal Januari lalu.
DRC kini menempatkan lebih 15,000 anggota pasukan pengaman PBB yang bertugas dalam usaha menstabilkan keadaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.