comscore
Tumpuan :
Dunia

15 rakyat Malaysia, 3 warga asing dalam proses tinggalkan Lubnan

Asap keluar dari bangunan runtuhan di tapak serangan udara Israel semalaman di kejiranan Laylaki di pinggir selatan Beirut pada 1 Oktober 2024. FOTO: Reuters

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sedang melaksanakan proses evakuasi 15 rakyat Malaysia yang berada di Lubnan, berikutan situasi semakin meruncing susulan serangan oleh Israel.

Kementerian itu menerusi satu kenyataan semalam, memaklumkan tiga warga asing yang juga pasangan kepada antara rakyat Malaysia terbabit turut akan dibawa keluar.

“Sembilan rakyat Malaysia sudah meninggalkan Lubnan secara sukarela. Manakala, empat rakyat Malaysia memilih untuk terus kekal di Lubnan.

“Empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi di Lubnan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang berterusan melancarkan serangan ketenteraan melalui serangan udara dan darat terhadap Lubnan.

Katanya, kekejaman kumpulan itu jelas melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengancam keselamatan, kestabilan dan kedaulatan serta integriti wilayah Lubnan.

“Malaysia bersolidariti bersama Lubnan dan masyarakat antarabangsa untuk mendesak Israel melaksanakan gencatan senjata segera bagi mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih dasyat di Lubnan,” katanya.

Selain itu, semua pihak diminta untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau itu.

Terdahulu, media melaporkan, Israel memaklumkan pasukannya sudah memulakan serangan darat dengan menyasarkan kawasan kampung di selatan Lubnan.

Tentera Israel dalam kenyataan berkata, tindakan ketenteraan disokong serangan udara dan artileri itu dilancarkan dengan menyasarkan Hizbullah di kampug berhampiran sempadan Israel.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini