comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] 15 terbunuh dalam serangan maut Israel ke atas ambulans di Gaza

SEMENANJUNG GAZA (WILAYAH PALESTIN): Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengaku ‘sangat terkejut’ dengan serangan maut dilancarkan Israel ke atas ambulans berhampiran hospital terbesar di Gaza, semalam.

Tedros berkata, beliau amat terperanjat membaca laporan bedilan ke atas ambulans yang membawa pesakit berdekatan Hospital Al-Shifa sehingga mengakibatkan kematian, kecederaan dan kerosakan.

Tangkap layar daripada rakaman video REUTERS menunjukkan beberapa mangsa terbaring berdekatan sebuah ambulans yang rosak akibat serangan Israel di hadapan Hospital Al-Shifa di Gaza City, semalam. Foto: Reuters

“Kami mengulangi: pesakit, petugas kesihatan, kemudahan dan ambulans mesti dilindungi setiap masa. Sentiasa,” katanya dalam media sosial X.

Kerajaan Hamas berkata, tentera Israel membedil sebuah konvoi ambulans yang sedang membawa pesakit mengalami kecederaan dari Gaza City ke arah Rafah di selatan wilayah itu.

Dalam kejadian itu, 15 terbunuh, manakala 60 yang lain cedera.

Menerusi video yang dikongsikan oleh REUTERS menyaksikan sejumlah mayat terkujur berdekatan sebuah ambulans rosak akibat bedilan di luar Hospital Al-Shifa, Gaza City, yang kini terlampau sesak dengan pesakit dan orang awam berlindung daripada serangan bom berterusan oleh Israel.

Kementerian Kesihatan di Gaza mengumumkan ‘sejumlah orang awam terkorban dan puluhan lagi cedera dalam bedilan Israel di pintu masuk Hospital Al-Shifa.’

Penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk wilayah Palestin, Lynn Hastings turut menzahirkan ‘amat terganggu’ dengan insiden serangan itu yang berlaku ketika pesakit dipindahkan untuk mencari tempat selamat.

Tentera Israel mendakwa serangan udara itu dilancarkan ke atas ambulans yang dikenal pasti oleh pasukannya sebagai digunakan oleh pejuang Hamas. – AGENSI

Loading...
Terkini