Tumpuan :
Dunia

2 ‘flash bomb’ jatuh berhampiran rumah Netanyahu

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. – FOTO: Reuters

BAITULMAQDIS: Pihak berkuasa Israel mengesan dua ‘flash bomb’ atau bom kilat diledakkan berhampiran kediaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di bandar Caesarea, semalam.

Polis dan agensi keselamatan dalaman, Shin Bet, dalam kenyataan bersama berkata, dua bom kilat berkenaan jatuh di luar kediaman perdana menteri.

“Perdana menteri dan keluarganya bagaimanapun tidak berada di rumah semasa kejadian itu berlaku.

“Siasatan sudah dibuka. Ini adalah kes serius dan dianggap sebagai perkembangan yang berbahaya.”

Presiden Israel, Isaac Herzog, mengutuk kejadian itu dan memberi amaran ‘terhadap peningkatan keganasan dalam tempat awam’.

“Saya sudah berbincang dengan ketua Shin Bet dan menekankan keperluan mendesak untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab secepat mungkin,” katanya dalam hantaran di platform X.

Setakat ini, belum jelas siapa yang bertanggungjawab atas tindakan itu itu.

Kejadian berlaku selepas serangan dron menyasarkan kediaman sama pada 19 Oktober lalu, yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Hizbullah.

Pada masa itu, Netanyahu menuduh Hizbullah cuba membunuh beliau dan isterinya.

Sejak 23 September lalu, Israel meningkatkan serangan bom ke atas sasaran Hizbullah di Lubnan, seterusnya menghantar pasukan darat selepas hampir setahun berbalas serangan rentas sempadan yang dimulakan oleh Hizbullah susulan perang di Gaza.

Caesarea terletak kira-kira 20 kilometer (km) di selatan kawasan bandar Haifa, dan kerap menjadi sasaran Hizbullah.

dalam perkembangan lain, dua orang cedera apabila sebuah rumah ibadat Yahudi terkena ‘serangan roket berat’ dilancarkan Hizbullah di Haifa, menurut tentera Israel.

Secara berasingan, tentera berkata mereka memintas ‘kira-kira 10 tembakan objek’ yang melintasi sempadan dari Lubnan ke Israel.

Hizbullah mendakwa bertanggungjawab ke atas beberapa serangan roket di utara Israel dengan mengatakan mereka menyasarkan lokasi ketenteraan termasuk sebuah pangkalan tentera laut di kawasan Haifa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini