comscore
Tumpuan :
Dunia

2 juta rakyat Britain alami gejala long COVID – kajian rasmi

Seorang lelaki dirakam melihat anggota keluarga mangsa COVID-19 yang maut menggantung sepanduk semasa siasatan ke atas COVID-19 di Britain pada 7 Disember 2023. Foto fail Reuters.

LONDON: Kira-kira dua juta orang di seluruh England dan Scotland masih menderitai simptom long COVID (COVID berpanjangan); di mana 381,000 daripadanya mempunyai aktiviti seharian yang terhad, menurut kajian rasmi yang diterbitkan hari ini.

Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) Britain memaklumkan 3.3 peratus responden yang ditinjau antara 6 Februari dan 7 Mac melaporkan mereka mengalami simptom long COVID yang berlarutan lebih empat minggu sejak jangkitan awal dan tidak dijelaskan oleh keadaan perubatan lain.

Angka itu meningkat sedikit daripada 2.9 peratus orang yang melaporkan gejala long COVID-19 dalam tinjauan ONS yang dilakukan pada Mac 2023 yang meliputi seluruh United Kingdom.

ONS dalam kenyataan susulannya bagaimanapun berkata kedua-dua tinjauan itu tidak boleh dibandingkan antara satu sama lain.

Tidak seperti di negara besar dan kaya lain, penyertaan tenaga buruh di Britain menurun sejak permulaan wabak COVID-19 pada 2020, memberi tamparan hebat kepada kerajaan dan majikan.

Faktor penyumbang terbesar ialah peningkatan dalam bilangan umur orang bekerja yang menderita sakit jangka masa panjang, yang meningkat sekitar 700,000 sejak pandemik bermula.

Data terbaharu hari ini menunjukkan, 9.1 peratus orang yang tidak bekerja atau mencari pekerjaan melaporkan simptom long COVID-19 atau hampir tiga kali ganda kadar dalam kalangan keseluruhan penduduk.

Individu berusia 45 hingga 54 tahun diletakkan pada kadar lima peratus berkemungkinan besar melaporkan simptom long COVID manakala wanita mempunyai 20 peratus lebih tinggi berkemungkinan melaporkan simptom itu.

Daripada bilangan yang melaporkan gejala long COVID-19 seperti diterbitkan dalam tinjauan hari ini, 51 peratus mengatakan mereka bermula lebih daripada dua tahun lalu dan 71 peratus mengatakan mereka bertahan sekurang-kurangnya setahun.

Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Britain merekodkan lebih 230,000 kematian akibat COVID-19, memberikannya kadar kematian yang sama dengan Amerika Syarikat dan Itali tetapi lebih tinggi dari tempat lain di barat Eropah.

Data ONS itu dihasilkan dengan Agensi Keselamatan Kesihatan UK, berdasarkan sampel 139,000 peserta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini