comscore
Tumpuan :
Dunia

22 Maut, Lebih 50 Hilang Tanah Runtuh di Venezuela

Tanah runtuh akibat hujan lebat di Venezuela mengorbankan sekurang-kurangnya 22 nyawa. | Foto: Reuters

LAS TEJERIAS: Sekurang-kurangnya 22 maut, manakala lebih 50 lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh akibat limpahan sungai dalam kejadian bencana baharu akibat hujan lebat di Venezuela, semalam.

Puluhan kes kematian direkodkan susulan pelbagai kejadian bencana akibat taburan hujan yang tinggi dalam sejarah negara Amerika Selatan itu, sejak beberapa bulan lalu.

Bercakap kepada media tempatan, Naib Presiden, Delcy Rodriguez, berkata kerosakan ketara berlaku di lokasi terjejas, selain memaklumkan sudah menemui 22 mangsa yang maut.

Selain itu, katanya, lebih 52 mangsa yang dilaporkan masih hilang, selain pihak berkuasa giat mencari mereka.

Rumah dan premis perniagaan musnah, manakala pokok tumbang di jalan bandar yang dilitupi lumpur dan serpihan, termasuk kayu, barangan rumah dan kereta remuk.

Sementara itu, penduduk, Carmen Melendez, 55, yang menetap di bandar dengan jarak 50 kilometer dari ibu negara Caracas, Aragua, menggambarkan Las Tejerias ‘musnah’ akibat bencana itu.

Menteri Dalam Negeri dan Kehakiman, Remigio Ceballos pula berkata, hampir seribu orang ramai, termasuk beliau menyertai usaha mencari dan menyelamat (SAR).

Penduduk tempatan menggali serpihan rumah yang rosak, manakala pasukan pencari tiba dengan anjing dan berharap dapat mencari mangsa terselamat yang terperangkap dalam runtuhan.

Tanah runtuh berlaku susulan banjir sungai terbesar di kawasan itu dalam tempoh 30 tahun, selain menjadi yang terburuk di Venezuela tahun ini, menyaksikan taburan hujan paling tinggi sejak beberapa bulan lalu.

Pada Ogos lalu, sekurang-kurangnya 15 maut di Andes, Venezuela akibat runtuhan batu dan lumpur susulan hujan lebat.

Selain itu, sekurang-kurangnya lapan maut akibat banjir susulan aliran hujan lebat di pemukiman keagamaan di barat negara itu, September lalu.

Pada 1999, tanah runtuh berskala besar mengorbankan kira-kira 10,000 orang di Vargas, utara Caracas. – AFP

Loading...
Terkini