comscore
Tumpuan :
Dunia

22,500 mangsa cedera di Gaza dijangka alami kecederaan yang mengubah hidup

Foto: Reuters

GAZA: Sekurang-kurangnya satu perempat atau sekitar 22,500 daripada mangsa yang cedera di Gaza setakat Julai lalu dijangka mengalami kecederaan yang mengubah hidup.

Analisis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, mereka memerlukan perkhidmatan pemulihan serta-merta dan berterusan untuk jangka panjang.

Perkara itu dimaklumkan wakil WHO di Palestin Dr. Richard Peeperkorn.

Katanya analisis itu menunjukkan keperluan pemulihan yang sangat tinggi di Gaza.

Kecederaan teruk pada anggota badan, dianggarkan antara 13,455 hingga 17,550 kes, adalah punca utama keperluan pemulihan.

Ramai yang cedera mempunyai lebih daripada satu kecederaan.

Menurut laporan itu, antara 3,105 hingga 4,050 kes pembedahan pemotongan anggota badan juga telah berlaku.

Menurut Dr. Richard, kenaikan besar dalam keperluan pemulihan berlaku selari dengan kemusnahan atau penyusutan sistem kesihatan yang berterusan, seperti yang sering kami laporkan.

Jelasnya, ketika ini, hanya 17 daripada 36 hospital yang masih berfungsi sebahagian di Gaza, namun perkhidmatan kesihatan utama dan di peringkat komuniti sering digantung atau tidak dapat diakses akibat ketidakamanan, serangan, dan arahan pemindahan yang berulang.

Peningkatan besar dalam kecederaan saraf tunjang, kecederaan otak trauma, dan kecederaan terbakar yang serius, semuanya menyumbang kepada jumlah keseluruhan kecederaan yang mengubah hidup, termasuk ribuan wanita dan kanak-kanak.

Secara ringkasnya, WHO amat memerlukan bantuan segera dalam bidang pemulihan ini dan ia harus menjadi komponen penting apabila kita bercakap, semoga dalam masa terdekat, dapat pemulihan awal.

Satu-satunya pusat rehabilitasi dan pembinaan semula anggota badan di Gaza, yang terletak di kompleks perubatan nasser dan disokong oleh WHO, tidak lagi berfungsi sejak Disember 2023.

Ia akibat kekurangan bekalan dan pakar kesihatan terpaksa meninggalkan tempat itu demi keselamatan.

Pusat itu juga mengalami kerosakan selepas serangan pada Februari 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini