comscore
Tumpuan :
Dunia

230 kes penerbangan dron tanpa kelulusan di sekitar pejabat Presiden Korea Selatan

SEOUL: Sebanyak 230 kes penerbangan dron tanpa kebenaran di sekitar pejabat presiden dilaporkan sehingga tahun lepas, sejak pejabat tertinggi itu berpindah ke daerah tengah Seoul, Yongsan pada 2022, lapor Agensi Berita Yonhap memetik seorang ahli parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Choo Mi-ae dari Parti Demokrat, parti pembangkang utama Korea Selatan mendedahkan data “Capital Defence Command” sambil menyatakan pejabat tertinggi itu menjadi lebih terdedah di lokasi baharu berbanding kompleks presiden Cheong Wa Dae sebelum ini.

Menurut data itu, terdapat 89 penerbangan dron tanpa kelulusan di zon larangan terbang P-73 di sekitar pejabat presiden pada 2022 selepas Presiden Yoon Suk Yeol memindahkan pejabat berkenaan ke Yongsan pada Mei manakala 141 kes seumpama itu dilaporkan tahun lepas.

Ketika pejabat tertinggi berada di Cheong Wa Dae, hanya 163 kes seumpamanya dilaporkan antara 2020 dan 2022.

Choo berkata penerbangan dron di atas pejabat presiden boleh menjadi ancaman besar kepada keselamatan negara. -BERNAMA-YONHAP

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini