comscore
Tumpuan :
Dunia

24 maut, traktor dan troli terbalik 

UTTAR PRADESH: Sekurang-kurangnya 24 orang maut apabila sebuah traktor dan troli yang membawa sekitar 40 penumpang terjatuh ke dalam kolam.

Mangsa yanga maut termasuk 13 wanita, 10 kanak-kanak dan seorang lelaki manakala kira-kira 30 lagi cedera.

Polis berkata kemalangan itu berlaku di daerah Kasganj, Uttar Pradesh, semalam dan mereka yang cedera sudah dimasukkan ke hospital tempatan manakala operasi menyelamat masih dijalankan ketika ini.

Traktor berkenaan turut melanggar kumpulan pejalan kaki di laluan sama dan seorang bayi berusia enam bulan yang dibawa untuk upacara mundan (cukur kepala) masih belum ditemui.

Ketua Polis (IG) Wilayah Aligarh, Shalabh Mathur, mengesahkan seramai 24 maut dalam kejadian tragik itu apabila sebuah traktor terbalik dan jatuh di kolam tepi jalan.

“Punca sebenar kemalangan masih belum diketahui dan jumlah mereka yang berada di dalam kenderaan itu juga belum dapat dipastikan tetapi siasatan awal mendapati terdapat lebih 30 penduduk kampung di dalam traktor itu.

“Penyelam dikerahkan untuk mengesan mereka yang terjatuh dan masih hilang,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, polis menjelaskan bahawa kemalangan itu berlaku di Jalan Riyazganj-Patiyali Link berhampiran kampung Gadhai manakala mangsa yang menaiki traktor itu berasal dari kampung Jaithara di daerah Etah UP.

Mereka difahamkan sedang menuju ke Kadarganj untuk berendam di Sungai Ganga dalam satu upacara keagamaan.

Menurut penduduk tempatan, kemalangan itu berlaku kerana traktor itu dipandu dengan laju.

Kolam di mana traktor itu jatuh mempunyai air sedalam dua hingga tiga meter tetapi pemendapan pasir menyukarkan kerja penyelamat dari kampung berhampiran. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini