Tumpuan :
Dunia

27 maut akibat tanah runtuh di Sumatera

Foto: Reuters

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 27 mangsa maut akibat tanah runtuh di Sumatera, Indonesia hari ini manakala ramai lagi dipercayai masih hilang.

Pasukan penyelamat Indonesia kini giat mencari penumpang terperangkap dalam sebuah van mini yang terbenam dalam lumpur selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda beberapa lokasi di wilayah Sumatera Utara.

Menurut Agensi Bencana Indonesia, hujan lebat yang melanda wilayah terbabit sejak minggu lalu menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di empat daerah.

Jurucakap Polis Sumatera Utara, Hadi Wahyudi, berkata kepada Reuters bahawa tanah runtuh di sebuah kampung di Deli Serdang pada Rabu meragut tujuh nyawa dan mencederakan 20 orang.

Foto: Reuters

Tambahnya, pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang hilang dan terperangkap dalam tanah runtuh namun beliau tidak dapat memberikan anggaran jumlah mangsa yang terlibat.

Di lokasi lain, pasukan penyelamat menemui 20 mayat sejak operasi pencarian bermula hujung minggu lalu, dengan dua mangsa masih belum ditemukan.

Tanah runtuh dan banjir kilat itu turut merosakkan rumah, masjid, dan sawah padi.

Hujan lebat turut menyebabkan banjir di ibu kota wilayah, Medan, sehingga mengganggu proses pengundian pilihan raya tempatan di beberapa pusat mengundi.

Cuaca melampau dijangka berlaku di Indonesia menjelang penghujung 2024, berikutan fenomena La Niña yang meningkatkan taburan hujan di kepulauan tropika itu, menurut amaran agensi cuaca negara. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini