Tumpuan :
Dunia

3 maut dalam ujian kenderaan di loji Hyundai

FOTO: Ihsan Media sosial / Yonhap

ULSAN: Tiga petugas maut disyaki akibat sesak nafas semasa menjalankan ujian prestasi kenderaan di kilang Hyundai Motor Co di Ulsan pada Selasa, menurut pegawai.

Mangsa, terdiri daripada dua penyelidik Hyundai dan seorang pekerja subkontraktor, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik ujian kira-kira pukul 3 petang.

Mereka segera dikejarkan ke hospital berdekatan tetapi disahkan meninggal dunia kemudian, lapor agensi berita Yonhap yang memetik kenyataan pegawai syarikat dan pihak berkuasa.

Siasatan awal mendapati kematian itu mungkin berpunca daripada pendedahan kepada gas toksik dalam kawasan ujian tertutup.

Polis telah melancarkan siasatan untuk menentukan keadaan sebenar kejadian itu dan meminta bedah siasat dilakukan bagi mengesahkan punca kematian.

Kementerian Pekerjaan dan Buruh Korea Selatan telah menghantar pemeriksa ke lokasi bagi menyiasat insiden itu dan menilai sama ada Akta Hukuman Kemalangan Serius terpakai.

Akta itu menetapkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda sehingga 1 bilion won (US$717,360) bagi pemilik perniagaan atau eksekutif yang didapati bertanggungjawab atas kemalangan industri serius yang menyebabkan kematian atau kecederaan parah.

Hyundai Motor Co menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan komited untuk mengambil langkah sewajarnya susulan tragedi itu.

Syarikat automotif itu turut berikrar untuk melaksanakan usaha komprehensif bagi mencegah kejadian serupa daripada berulang.

— BERNAMA-YONHAP

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini