comscore
Tumpuan :
Dunia

3 warga A.S. antara 37 dijatuhi hukuman mati di Congo kes rampasan kuasa

Benjamin Zalman Polun, Marcel Malanga dan Taylor Thompson warga A.S. ketika perbicaraan pada 7 Jun, 2024. – FOTO: Reuters

KINSHASA: Sebuah mahkamah tentera di Congo pada Jumaat menjatuhkan hukuman mati terhadap 37 orang, termasuk tiga warga Amerika Syarikat (AS) kerana peranan mereka dalam rampasan kuasa yang gagal awal tahun ini, lapor Agensi Anadolu.

Kesemua mereka didakwa terlibat dengan persatuan jenayah, melakukan serangan, keganasan serta membiayai keganasan.

Tiga lagi warga asing yang didapati bersalah membabitkan rakyat United Kingdom, Belgium dan Kanada.

Perbicaraan bermula pada Julai dalam kes yang berkaitan dengan serbuan malam dan rampasan kuasa yang gagal pada Mei oleh tokoh pembangkang Christian Malanga, yang melancarkan serangan ke atas istana presiden serta kediaman Vital Kamerhe, presiden Dewan Rakyat negara itu.

Menurut tentera Congo, Malanga ditembak mati selepas menentang apabila ditahan sejurus selepas memuat naik penstriman langsung serangan rampasan kuasa itu di media sosialnya.

Anak lelaki Malanga, Marcel Malanga, 21, adalah antara tiga warga AS yang dijatuhi hukuman mati.

Empat belas defendan dibebaskan dan semua tertuduh mempunyai lima hari untuk merayu. – BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini