comscore
Tumpuan :
Dunia

4 suspek penembak kes serangan maut adalah warga asing – Russia

 

Orang ramai tidak dapat menahan kesedihan ketika memperingati mangsa serangan tembakan maut di Dewan Bandar Crocus, kelmarin.- Foto: Reuters

MOSCOW: Empat suspek penembak yang ditahan berhubung kes serangan maut di Dewan Bandar Crocus, kelmarin, bukan rakyat Russia, menurut Kementerian Dalam Negeri di Moscow.

“Kesemua mereka adalah warga asing,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu di Kyiv, Ukraine menafikan terbabit dalam kejadian berkenaan.

Terdahulu, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) Russia dilaporkan berkata, kesemua empat pengganas itu ditahan ketika menuju ke sempadan Ukraine, dan mereka didakwa mempunyai kontak di Ukraine.

Direktorat Utama Perisikan di Kementerian Pertahanan Ukraine, Andriy Yusov bagaimanapun mendakwa bahawa ia adalah satu pembohongan daripada perkhidmatan khas Russia.

“Ukraine sudah tentu tidak terbabit dalam serangan ganas itu. Ukraine sedang mempertahankan kedaulatannya daripada pencerobohan Russia, membebaskan wilayah sendiri dan bertempur dengan tentera penceroboh serta sasaran ketenteraan, bukan orang awam,” katanya kepada Reuters.

Kenyataannya senada dengan Penasihat Presiden, Mykhailo Podolyak yang turut menafikan Ukraine mempunyai sebarang kaitan dengan insiden berkenaan.

“Sebarang cubaan untuk mengaitkan Ukraine dengan serangan pengganas itu adalah tidak boleh dipertahankan sama sekali,” katanya. – AGENSI

Loading...
Terkini