
PRAYAGRAJ: Seramai 40 individu dilaporkan maut dalam insiden rempuhan di utara India ketika jutaan penganut Hindu berhimpun bagi menjalani ritual mandi suci di sungai pada hari paling signifikan dalam festival keagamaan itu, semalam.
Penganut Hindu dari seluruh India berkumpul di Prayagraj, yang dahulunya dikenali sebagai Allahabad, untuk menyertai Kumbh Mela dan melakukan upacara berendam di Sungai Ganges dan Yamuna.
Menurut saksi, mayat bertaburan di tanah bersama barangan peribadi, manakala jeritan panik bergema ketika orang ramai cuba menyelamatkan diri.
Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, memaklumkan bahawa sekitar ratusan juta individu menghadiri festival itu.
Beliau mengakui terdapat kesukaran dalam mengawal jumlah pengunjung yang terlalu ramai namun tidak mengesahkan angka sebenar korban atau mangsa cedera.
Sementara itu, Perdana Menteri, Narendra Modi turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengesahkan kehilangan nyawa akibat kejadian itu.
Beliau juga dilaporkan telah berbincang dengan Yogi Adityanath serta memberi jaminan bahawa segala usaha sedang dilakukan untuk membantu mereka yang terjejas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.