comscore
Tumpuan :
Dunia

41 termasuk 28 maut akibat dipanah petir di Pakistan

Insiden berkaitan ribut, termasuk disambar petir, telah membunuh sekurang-kurangnya 41 orang di seluruh Pakistan sejak Jumaat, kata pegawai. – Foto AGENSI

LAHORE: Sekurang-kurangnya 41 orang terkorban termasuk 28 orang akibat dipanah petir dalam insiden berkaitan ribut di seluruh Pakistan sejak Jumaat.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan (NDMA) memberi amaran mengenai tanah runtuh dan banjir kilat, berikutan lebih banyak hujan dijangka berlaku dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Punjab, wilayah terbesar dan paling ramai penduduk di Pakistan, menyaksikan angka kematian tertinggi, dengan 21 orang terbunuh dipanah petir antara Jumaat dan Ahad.

“Saya sudah meminta NDMA berkoordinasi dengan wilayah dan menyediakan barangan bantuan ke kawasan di mana kerosakan berlaku,” kata Perdana Menteri, Shehbaz Sharif semalam.

Mereka yang tinggal di kawasan terbuka dan luar bandar lebih berisiko disambar petir ketika ribut petir.

Sekurang-kurangnya lapan terbunuh di wilayah Balochistan, termasuk tujuh disambar petir, di mana 25 daerah didalamnya dilanda hujan dan beberapa kawasan juga dinaiki air.

Sekolah-sekolah di wilayah itu diarah tutup pada Ihari ini dan esok, selain menangguhkan kepulangan pelajar selepas cuti Aidilfitri pada penghujung bulan Ramadan.

Empat orang maut dalam kemalangan jalan raya selepas laluan dinaiki air di wilayah selatan Sindh.

Sementara itu, lapan lagi terbunuh di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, termasuk empat kanak-kanak, apabila rumah mereka runtuh dalam hujan lebat.

Pengerusi Parti Rakyat Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari, menyalahkan perubahan iklim sebagai punca peningkatan kejadian kilat.

Pakistan semakin terdedah kepada corak cuaca yang tidak menentu serta kerap berdepan hujan monsun yang memusnahkan, biasanya tiba pada Julai. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini