Tumpuan :
Dunia

43 maut akibat akibat pertempuran antara mazhab di Pakistan

Foto hiasan

PESHAWAR: Angka kematian akibat dua serangan di barat laut Pakistan meningkat kepada 43, mangsa, menurut pihak berkuasa pada Jumaat, ketika perintah berkurung dilaksanakan dan perkhidmatan telefon bimbit digantung di daerah pergunungan terpencil itu.

Semalam, kumpulan bersenjata melepaskan tembakan ke atas dua konvoi berasingan yang membawa pengikut mazhab Syiah dengan pengiring polis di Kurram, sebuah daerah di wilayah Khyber Pakhtunkhwa berhampiran sempadan Afghanistan.

Wilayah itu mempunyai sejarah keganasan antara mazhab yang berdarah dan sejak beberapa bulan lalu, pertempuran sekali lagi tercetus antara puak Sunni dan Syiah di kawasan itu, yang sebelum ini diisytiharkan wilayah separa autonomi.

Pegawai kanan pentadbiran, Javed Ullah Mehsud berkata, mangsa korban itu termasuklah tujuh wanita dan tiga kanak-kanak.

“Setakat ini terdapat 16 yang cedera dengan 11 mangsa berada dalam keadaan kritikal,” katanya.

Tambah Mehsud, sebuah ‘jirga’ tempatan, atau majlis mazhab, telah diadakan untuk membantu memulihkan keamanan dan ketenteraman.

Sementara itu, seorang lagi pegawai kanan pentadbiran, yang enggan dikenali berkata, isyarat telefon mudah alih di seluruh daerah itu sudah disekat.

Beliau menyifatkan keadaan di kawasan itu sebagai ‘amat tegang’ dengan penduduk tempatan mengadakan bantahan di Parachinar.

“Perintah berkurung sudah dilaksanakan di jalan utama yang menghubungkan Upper dan Lower Kurram, manakala pasar kekal ditutup sepenuhnya, dengan semua lalu lintas disekat,” katanya.

Pertelingkahan antara mazhab dan keluarga adalah perkara biasa di Pakistan yang majoriti penduduknya Sunni manakala masyarakat minoriti Syiah pula sudah lama berdepan diskriminasi dan keganasan.

Pertempuran sebelum ini pada Julai dan September telah meragut puluhan nyawa dan hanya berakhir selepas ‘jirga’ mengisytiharkan gencatan senjata.

Keganasan terbaharu kali ini mendapat kecaman daripada pegawai Pakistan dan kumpulan hak asasi manusia.

“Kekerapan pertempuran seperti ini mengesahkan kegagalan kerajaan Persekutuan dan wilayah untuk melindungi keselamatan rakyat biasa,” kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan (HRCP) yang bebas dalam satu kenyataan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini