Tumpuan :
Dunia

48 terbunuh dalam serangan bertubi Israel di Gaza

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 48 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza semalam terkorban disebabkan tentera Israel memperhebatkan serangan di pinggir utara wilayah itu.

Menurut pegawai perubatan, serangan semalam yang disasarkan ke atas sebuah di kawasan Jabalia itu mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang di samping 10 lagi belum ditemui ketika operasi menyelamat diteruskan.

Sementara di selatan Semenanjung Gaza, sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak perempuan, maut akibat serangan udara Israel yang tertumpu di Al-Mawasi.

Pengarah Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya, Hussam Abu Safiya, berkata seluruh hospitalnya diletupkan semalam tanpa sebarang isyarat atau amaran ketika pihaknya berusaha menyelamatkan mangsa yang cedera dalam unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, hospital itu antara tiga kemudahan perubatan yang hampir lumpuh serta tidak dapat beroperasi di kawasan utara yang dikepung.

“Susulan penangkapan 45 anggota kakitangan perubatan dan pembedahan dan larangan masuk pasukan pengganti, kami kini kehilangan pesakit yang cedera setiap hari yang mampu diselamatkan sekiranya pasukan perubatan tersedia.

“Malangnya, bekalan makanan dan air tidak dibenarkan dibawa masuk, termasuk semua ambulans dilarang (masuk) ke utara,” katanya kepada Reuters melalui mesej teks.

Katanya, terdapat 85 orang yang cedera termasuk kanak-kanak dan wanita serta di hospital serta enam di ICU.

“Kira-kira 17 kanak-kanak dibawa ke hospital dengan tanda-tanda kekurangan zat makanan akibat kekurangan makanan. Selain itu, seorang lelaki meninggal dunia akibat dehidrasi sehari yang lalu,” katanya.

Operasi ketenteraan Israel di Gaza sejak berminggu-minggu lalu di pinggir utara wilayah itu, dengan tenteranya mengepung tiga bandar utama dan mengarahkan penduduk mengosongkan tempat tinggal.

Penduduk di tiga bandar iaitu Jabalia, Beit Lahiya dan Beit Hanoun memaklumkan tentera Israel meletupkan berpuluh-puluh kediaman.

Mereka berkata, Israel benar-benar mahu memastikan tiada lagi penduduk mendiami kawasan itu secara kekal, untuk mewujudkan zon penampan di sepanjang pinggir utara Gaza, yang dinafikan Israel.

Walaupun serangan Israel tertumpu di bandar-bandar di pinggir utara Gaza sejak bulan lalu, serangannya tetap berterusan di seluruh wilayah.

Di pinggir bandar Sabra di Gaza City, perkhidmatan kecemasan awam Palestin memaklumkan serangan udara Israel yang menyasarkan ke atas salah satu pasukannya semasa operasi menyelamat, membunuh seorang kakitangan dan mencederakan tiga yang lain.

Sementara menurut pegawai perubatan, serangan Israel ke atas kejiranan Zeitoun berhampiran yang menyasarkan sebuah rumah mengorbankan dua orang.

Menurut perkhidmatan kecemasan awam, jumlah anggotanya yang terkorban di Sabra meningkatkan kepada 86 orang sejak serangan bermula 7 Oktober tahun lalu.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ketika lawatannya ke Gaza semalam, berkata Hamas tidak akan memerintah wilayah Palestin selepas perang tamat dan menegaskan Israel telah memusnahkan operasi ketenteraan kumpulan Islam itu.

Katanya, Israel tidak berputus asa menjejaki 101 tebusan yang dipercayai masih berada di dalam wilayah terkepung itu dan beliau menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM22.38 juta) untuk setiap seorang tebusan yang berjaya dibawa pulang.

Hamas mahu perjanjian yang menamatkan perang, manakala Netanyahu berikrar perang boleh berakhir hanya apabila Hamas dihapuskan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini