
BEER YAAKOV: Lima warga Thailand yang dibebaskan oleh kumpulan pejuang Hamas tiba di Pusat Perubatan Shamir, Israel, pada Khamis.
Mereka disambut oleh Duta Besar Thailand ke Israel, Pannabha Chandraramya, bersama kakitangan hospital yang mengibarkan bendera Thailand.
Lima individu terbabit dikenali sebagai Thenna Pongsak, Sathian Suwannakhan, Sriaoun Watchara, Seathao Bannawat dan Rumnao Surasak.
Mereka dilihat melangkah keluar dari kenderaan sebelum dibawa masuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Serangan Hamas di Israel sebelum ini menyaksikan lebih 250 individu dijadikan tebusan, menjadikannya serangan paling berdarah terhadap penduduk Yahudi sejak Holocaust. Antara yang terbunuh dan diculik termasuk puluhan pekerja pertanian dari Thailand.
Semalam, Israel telah membebaskan 110 banduan, termasuk 30 kanak-kanak bawah umur sebagai sebahagian daripada pertukaran di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza yang dipersetujui dengan Hamas.
30 daripadanya individu bawah umur 18 tahun, 32 dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, dan 48 yang lain sedang menjalani hukuman penjara dengan tempoh yang berbeza-beza.
Reuters melaporkan, 20 daripada banduan yang akan dibebaskan akan dibuang negeri.
Dalam dua pertukaran sebelum ini, tujuh tebusan Israel dibebaskan oleh pejuang sebagai pertukaran untuk 290 banduan, hampir semua rakyat Palestin, kecuali seorang warga Jordan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.