comscore
Tumpuan :
Dunia

50 negara kutuk tindakan pencabulan hak Xinjiang di PBB

Penduduk tempatan memerhatikan konvoi pasukan keselamatan bersenjatakan belantan dan perisai melakukan rondaan di tengah Kashgar, kawasan barat di wilayah Xinjiang, China. – Foto AP

NEW YORK: Sebanyak 50 negara menandatangani kenyataan mengutuk pencabulan hak asasi manusia yang ‘teruk dan sistematik’ di wilayah Xinjiang, China,

Antara negara berkenaan ialah Amerika Syarikat (AS), Britain, Jepun, Perancis, Australia, Turkiye, Guatemala dan Somalia.

Kenyataan dibacakan Kanada semalam ketika perbahasan Jawatankuasa Ketiga Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengendalikan hak asasi manusia mengakui prihatin terhadap keadaan di China.

Ia terutama pencabulan berterusan hak asasi manusia terhadap etnik Uighur dan minoriti lain yang kebanyakannya beragama Islam di Xinjiang.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR), Ogos lalu menerbitkan laporan mengenai Xinjiang, memetik kemungkinan jenayah kemanusiaan terhadap Uighur dan minoriti Islam lain di wilayah barat.

Beijing yang menafikan dakwaan itu, mendakwa pihaknya memerangi keganasan dan memastikan pembangunan wilayah berkenaan.

Kenyataan itu menyifatkan pelanggaran hak asasi manusia yang teruk dan sistematik tidak boleh dibenarkan atas dasar memerangi keganasan, selain khuatir China enggan membincangkan penemuannya, berpandukan penilaian OHCHR.

Mereka menggesa Beijing ‘melaksanakan syor penilaian OHCHR’, termasuk ‘mengambil langkah segera bagi membebaskan semua individu yang kebebasannya dirampas di Xinjiang.

Beijing juga digesa menjelaskan nasib dan lokasi ahli keluarga yang hilang serta memudahkan hubungan selamat dan pertemuan semula’.

Awal bulan lalu, China berjaya mengelak perbincangan laporan OHCHR di Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang berpangkalan di Geneva, selepas permulaan perdebatan itu dihalang majoriti 47 anggota badan berkenaan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Human Rights Watch, meminta Majlis Hak Asasi Manusia PBB mengulangi perdebatan itu ‘secepat mungkin’.

Pengarah PBB bagi NGO itu, Louis Charbonneau, mengakui ada momentum diplomatik yang jelas bagi memastikan Beijing bertanggungjawab susulan peningkatan pencabulan hak asasi manusia.

“Ahli majlis digesa untuk cuba sekali lagi membincang dan mempertimbangkan pilihan mewujudkan mekanisme disokong PBB bagi menyiasat lebih lanjut mengenai tanggungjawab Kerajaan China terhadap pencabulan hak asasi manusia, secepat mungkin,” katanya. –

Loading...
Terkini