comscore
Tumpuan :
Dunia

59 terbunuh, sebahagian besarnya anggota polis

Foto: REUTERS

ISLAMABAD: Seramai 59 orang terbunuh, manakala lebih 150 orang cedera selepas seorang pengebom berani mati menyerang masjid ibu pejabat polis Peshawar, Pakistan, semalam.

Kebanyakan mangsa yang maut ialah anggota polis.

Perdana Menteri, Shahbaz Sharif berikrar mengambil tindakan tegas terhadap dalang insiden itu.

“Takziah kepada keluarga mangsa. Sudah pasti kesakitan mereka tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” katanya menerusi Twitter.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa yang cedera di Peshawar.

Dalam kejadian itu, lebih 300 jemaah sedang bersolat di masjid apabila pengebom itu membuka jaket bahan letupannya.

Pegawai polis, Siddique Khan berkata, pengebom itu meletupkan dirinya ketika berada dalam kalangan jemaah.

Penyelamat terpaksa mengalihkan timbunan serpihan untuk mengeluarkan jemaah terperangkap di bawah runtuhan.

Jurucakap hospital kerajaan utama di Peshawar, Mohammad Asim mengesahkan, setakat ini, angka kematian mencecah 59 orang dengan 157 lagi cedera.

Pegawai kanan polis dan kerajaan menghadiri upacara pengebumian 30 pegawai polis dengan persiapan untuk mengebumikan mangsa selebihnya sedang dibuat.

Keranda turut dibalut dengan bendera Pakistan sebelum jenazah mereka diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric menyampaikan kenyataan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang menyifatkan pengeboman itu menjijikkan kerana menyasarkan rumah ibadat.

Dalam pada itu, pelbagai negara menerusi Kedutaan Arab Saudi serta Kedutaan Amerika Syarikat di Islamabad, berdiri teguh bersama Pakistan dan mengecam insiden itu. – AP

Loading...
Terkini